Funding Societies (Modalku Indonesia), platform pembiayaan digital PKS terbesar dan terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara, mengumumkan pelaburannya ke dalam saham Bank Index atau PT. Bank Index Selindo, bank komersial swasta Indonesia, bersama-sama dengan CARRO, sebuah platform pasaran automotif Asia Tenggara.
Langkah ini merupakan satu peristiwa penting bagi Funding Societies di dalam perjalanannya memasuki sektor neobank atau perbankan digital dan usahanya untuk menawarkan perkhidmatan kewangan digital yang lebih berimpak tinggi kepada perniagaan terpinggir di rantau ini.
Dengan tumpuan terhadap Perbankan PKS, Bank Index adalah sebuah Bank kebangsaan milik swasta yang beroperasi di seluruh Indonesia dengan 53 rangkaian pejabat di wilayah komersial utama seperti di Jabodetabek, Jawa, Sumatera, Bali dan Batam.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies, Kelvin Teo berkata, pelaburan dan kerjasama pihaknya dengan Bank Index akan menyokong strategi perniagaan Funding Societies ke dalam sektor perbankan digital.
“Bank Index berkongsi wawasan yang sama dengan kami iaitu untuk memperkasakan dan membangunkan PKS. Sejak 2015, Funding Societies telah giat menjalinkan kerjasama dengan bank-bank di seluruh rantau ini, dan kerjasama kami dengan Bank Indeks akan membawa kolaborasi FinTech-bank ke satu tahap yang lebih tinggi.
“Keupayaan kami akan membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada PKS merangkumi perkhidmatan perbankan, pembayaran, pinjaman dan digital bagi meningkatkan ekonomi Asia Tenggara menerusi perniagaan kecil,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain daripada Malaysia dan Indonesia, Funding Societies turut beroperasi di Singapura, Thailand dan Vietnam. Setakat hari ini, platform itu secara kolektifnya telah mengagihkan lebih daripada RM9.5 bilion dalam bentuk pembiayaan menerusi lebih daripada 5 juta perjanjian pembiayaan di seluruh rantau ini.
-NIAGATIMES