Futurise cetus peluang pekerjaan dalam pelbagai industri melalui inisiatif NRS

Futurise Sdn Bhd (Futurise) baru-baru ini mengeluarkan Laporan Impak (2018-2020) yang dikenali sebagai ‘Futurise Regulatory Summary for Stakeholders’ (FiRST), yang mengetengahkan peranan utama syarikat tersebut dalam menerajui inisiatif National Regulatory Sandbox (NRS) dan sebagai Penasihat Dasar Awam untuk industri dan kerajaan dalam membentuk Ekonomi Masa Hadapan.

Futurise berkata, jangkaan peluang pekerjaan yang besar iaitu dengan lebih daripada 23,000 dapat diwujudkan bagi pekerja-pekerja ekonomi Gig di Malaysia dalam tempoh masa lima tahun, khususnya dalam Servis Penjagaan Kanak-Kanak Secara Mobil.

“Mempengaruhi lebih daripada 20,000 pengasuh berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang telah tersenarai pada masa ini, peranan Futurise ialah untuk mengembangkan dan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP), yang diluluskan oleh JKM untuk memastikan standard-standard tersebut dapat dipatuhi oleh penyedia servis penjagaan kanak-kanak secara mobil serta mengambil kira aspek keselamatan awam.

“Pada suku ke-empat tahun 2020, Kawasan Pengujian Kenderaan Berautonomi di Cyberjaya (MyAV) telah dilancarkan bersama dengan pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) di bawah inisiatif NRS untuk perkembangan projek kenderaan berautonomi sekaligus dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang dianggarkan sebanyak 200 hingga 250 khususnya dalam bidang robotik dan kejuruteraan elektrik, pengaturcaraan, pembelajaran mengenai mesin, kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan automotif,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Mahadhir Aziz berkata, pihaknya kini meneruskan usaha untuk mewujudkan impak yang penting sepanjang tahun 2021 bagi membentuk masa hadapan yang lebih baik.

“Ianya termasuk dalam kemajuan peluang ekonomi, menyokong pertumbuhan inovasi dalam negara, mempercepatkan intervensi pengawalseliaan untuk menyelesaikan masalah perkongsian data dan mengurangkan pergantungan terhadap tenaga kerja asing dengan memastikan pekerjaan terus dapat diciptakan dalam inisiatif NRS Lab kami,” ujarnya.

Untuk muat turun FiRST, sila layari laman web futurise.com.my/first.

-NIAGATIMES

 

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.