Fwd Takaful lancar pelan takaful keluarga Fwd Income First

FWD Takaful Berhad (FWD Takaful) mengumumkan pelancaran pelan takaful keluarga terbaharu,  FWD Income First yang menggabungkan simpanan dan perlindungan dalam satu pelan.

FWD Takaful berkata, pelan itu menawarkan manfaat Bayaran Tunai Dijamin (BTD) untuk membantu pelanggan memenuhi matlamat kewangan mereka selain turut menyediakan perlindungan sekiranya berlaku kematian ataupun Hilang Upaya Penuh dan Kekal (HUPK) akibat kejadian yang tidak diingini.

“FWD Income First menawarkan pembayaran tunai bermula dari awal tahun kedua sijil dan fleksibiliti untuk pelanggan memilih tempoh pambayaran sumbangan sama ada 5, 10 atau 20 tahun dan tempoh perlindungan sama ada 20 atau 30 tahun mengikut kesesuaian keperluan pelan kewangan dan gaya hidup mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Salim Majid Zain berkata, amatlah penting bagi masyarakat memastikan bahawa mereka menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk masa hadapan masing-masing, lebih-lebih lagi dalam keadaan kewangan yang tidak menentu hari ini.

“Visi kami adalah untuk mengubah pandangan orang ramai tentang takaful. Oleh itu, kami telah mencipta pelan takaful yang lebih menyeluruh yang bukan sahaja dapat memberikan perlindungan malah dapat juga meningkatkan kewangan untuk mewujudkan keselamatan kewangan jangka masa panjang.

“FWD Income First menyediakan bayaran tunai dijamin setiap tahun, yang membolehkan pelanggan memenuhi matlamat kewangan mereka pada tahap yang berbeza dalam kehidupan mereka,” jelasnya.

-NIAGATIMES

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.