FWD Takaful lunas zakat perniagaan lebih RM600,000 kepada PPZ-MAIWP

FWD Takaful Berhad menunaikan kewajipan zakat perniagaan pertamanya dengan menyerahkan bayaran berjumlah RM634,987.96 kepada Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), sekali gus memperkukuh komitmen syarikat terhadap tanggungjawab sebagai institusi kewangan Islam.

Sumbangan itu menandakan satu pencapaian penting bagi syarikat sejak memulakan operasi dalam industri takaful Malaysia pada 2019, selain mencerminkan komitmen berterusan terhadap amalan tadbir urus korporat yang berintegriti, pematuhan syariah dan tanggungjawab sosial.

Dana zakat berkenaan akan diagihkan oleh PPZ-MAIWP kepada golongan asnaf yang layak melalui pelbagai inisiatif kebajikan serta program pembangunan sosioekonomi yang dilaksanakan oleh institusi berkenaan.

Majlis penyerahan cek replika itu disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Syariah FWD Takaful, Ismail Nik, kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Azrin Abdul Manan, sebagai simbolik pemenuhan tanggungjawab zakat syarikat selaras dengan mandat yang dipersetujui pemegang saham, Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Syariah.

Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Aman Chowla berkata pembayaran zakat tersebut mencerminkan iltizam syarikat untuk menjalankan operasi perniagaan berteraskan nilai integriti, akauntabiliti dan keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat.

“Sebagai sebuah institusi kewangan Islam, pembayaran zakat bukan sekadar memenuhi tuntutan syariah, tetapi merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Kami percaya zakat memainkan peranan besar dalam memperkasakan komuniti serta membantu meningkatkan taraf hidup golongan yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, syarikat berhasrat menjadikan pembayaran zakat sebagai komitmen tahunan yang berterusan selaras dengan aspirasi untuk mencipta impak sosial yang lebih meluas.

Sejak memulakan operasi tujuh tahun lalu, FWD Takaful merekodkan pertumbuhan memberangsangkan apabila berjaya meningkatkan kedudukannya dalam pasaran takaful keluarga daripada tangga ke-10 pada 2019 kepada kedudukan kelima setakat suku pertama 2026.

Prestasi itu dicapai meskipun industri takaful keluarga berdepan cabaran sepanjang tahun lalu, hasil strategi pertumbuhan inklusif yang memberi penekanan kepada inovasi, kebolehcapaian perlindungan dan nilai sosial kepada masyarakat.

-NIAGATIMES