FWD Takaful, MBSB Bank meterai kerjasama Bankatakaful selama 10 tahun

FWD Takaful Berhad menjalin kerjasama strategik jangka panjang selama 10 tahun dengan MBSB Bank Berhad menerusi perjanjian Bankatakaful bagi memperkukuh penawaran penyelesaian kewangan dan perlindungan patuh Syariah kepada pelanggan di Malaysia.

Melalui kerjasama itu, FWD Takaful akan menyediakan pelbagai produk takaful kepada pelanggan MBSB Bank, sekali gus memperluaskan akses kepada perlindungan kewangan yang lebih menyeluruh dan relevan mengikut keperluan semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif FWD Malaysia, Aman Chowla berkata kerjasama tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam meningkatkan tahap keterangkuman kewangan menerusi penyelesaian yang lebih mudah diakses dan berorientasikan pelanggan.

Beliau berkata gabungan kekuatan teknologi digital FWD Takaful bersama ekosistem perbankan MBSB Bank diyakini mampu menawarkan produk perlindungan dan simpanan yang lebih praktikal, mampu milik serta memenuhi kehendak rakyat Malaysia.

“Kerjasama ini membuka ruang kepada lebih ramai individu dan keluarga untuk mendapatkan perlindungan kewangan yang sesuai sambil membantu mereka membuat persediaan lebih baik bagi masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis pemeteraian perjanjian itu berlangsung di St. Regis Hotel, Kuala Lumpur semalam dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef.

Turut hadir Pengerusi FWD Takaful, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin serta Pengerusi MBSB Berhad, Dato’ Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.

Sementara itu, Rafe berkata kerjasama berkenaan akan memperkukuh lagi tawaran produk dan perkhidmatan MBSB Bank menerusi integrasi perlindungan takaful dengan penyelesaian kewangan sedia ada.

Menurut beliau, langkah itu juga selaras dengan strategi pertumbuhan kumpulan untuk menawarkan penyelesaian kewangan yang lebih komprehensif merangkumi aspek perlindungan, pengurusan kekayaan dan perancangan kewangan jangka panjang.

“Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelanggan MBSB Bank, malah menyediakan platform yang lebih luas kepada FWD Takaful untuk mengembangkan lagi capaian perlindungan takaful di negara ini,” katanya.

Pada majlis sama, kedua-dua pihak turut memperkenalkan Takaful SmartGain, iaitu pelan simpanan takaful keluarga yang direka bagi membantu pelanggan membina simpanan jangka panjang sambil menikmati perlindungan kewangan.

-NIAGATIMES