FWD Takaful Berhad (FWD Takaful) telah melancarkan Dana Khas Vaksin Covid-19 bernilai RM1 Juta untuk memberi perlindungan kepada semua pelanggannya yang layak sekiranya dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia akibat komplikasi atau kesan sampingan yang timbul daripada vaksinasi COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Salim Majid Zain berkata, pelancaran dana khas tersebut adalah sebagai persediaan kepada semua pelanggan yang layak untuk berdepan sebarang kemungkinan.
“Sebagai pengendali Takaful yang inklusif, dana ini adalah khas untuk semua pelanggan berkelayakan kami, terutama mereka yang berada dalam segmen berpendapatan rendah yang menyertai pelan mikro-takaful kami, FWD Kasih, dan pelan kami yang khusus untuk segmen orang kurang upaya, FWD SpecialCare Direct, untuk memastikan masa depan mereka terjamin,” katanya.
Sementara itu, FWD Takaful dalam kenyataan menjelaskan bahawa mereka akan melindungi semua pelanggan baru dan sedia ada yang layak dengan perlindungan dan manfaat tambahan Dana Khas Vaksin Covid-19 tanpa sumbangan tambahan.
“Manfaat tunai hospital ini sah selama tiga bulan dari tarikh penerimaan dos pertama vaksinasi yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dan manfaat kematian hanya untuk kematian di Malaysia sahaja.
“Manfaat ini tersedia dari 25 Februari sehingga 31 Disember 2021 atau sehingga dana khas RM1 juta habis diguna pakai, yang mana berlaku dahulu.
“Selain itu, FWD Takaful juga telah melancarkan Dana Bantuan Khas Covid-19 bernilai RM1 juta untuk melindungi pelanggan layak yang didiagnosis dengan COVID-19.
“Perlindungan percuma kini tersedia dari 1 Mac 2021 hingga 31 Disember 2021 atau sehingga dana habis diguna pakai, yang mana berlaku dahulu,” jelasnya.
-NIAGATIMES