Organisasi e-sukan, gaya hidup dan kandungan terkemuka dunia, Galaxy Racer baru-baru ini mengumumkan pengembangannya ke dalam ekosistem e-sukan Malaysia dan mempunyai rancangan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi e-sukan dan permainan elektronik negara.
Pada tahun 2020, Malaysia dilihat sebagai pasaran permainan elektronik ketiga terbesar di Asia Tenggara. Kementerian Belia dan Sukan Malaysia turut melancarkan Esports Integrated (ESI) sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju negara untuk membangunkan sektor itu, yang seterusnya meningkatkan pertumbuhan ekonomi e-sukan dan permainan elektronik.
Ini menyediakan peluang kepada organisasi e-sukan dan permainan elektronik seperti Galaxy Racer untuk meningkatkan penglibatan mereka dengan pasukan e-sukan dan pencipta kandungan yang berdaya saing dalam pasaran ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Galaxy Racer Asia Tenggara, Mitch Esguerra berkata, Malaysia mempunyai ekonomi e-sukan dan permainan elektronik yang berkembang pesat, terutamanya dengan sokongan kerajaan untuk memajukan pembangunan sektor tersebut.
“Kami teruja untuk bekerjasama rapat dengan pemegang kepentingan yang berkaitan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa besar dalam e-sukan dan permainan elektronik di rantau ini.
“Sementara kami mengusahakan rancangan pengembangan secara bebas dalam setiap pasaran sasaran untuk rantau ini, membawa pasukan dan pencipta kandungan dari setiap negara akan menjadi cita-cita Galaxy Racer untuk Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan.
Galaxy Racer Malaysia diketuai oleh Mitch Esguerra bersama-sama Melvyn Lim sebagai Pengurus Negara.
Syarikat itu juga mempunyai lebih 100 pencipta kandungan di seluruh dunia, memperoleh capaian lebih 500 juta pengikut, lebih 2.5 bilion tontonan bulanan, termasuk pelakon Yana Samsudin, sensasi TikTok Syaa Meoow, dan hos e-sukan dan pengulas popular Tashbunny.
-NIAGATIMES