Geran RM3.2 juta buat PKS oleh Facebook Malaysia

Facebook Malaysia memperuntukkan inisiatif berjumlah RM3.2 juta bagi membantu perniagaan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan termasuk peniaga mikro yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 ketika ini.

Pengarah negara bagi Facebook Malaysia, Nicole Tan menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya peka dalam memberi sokongan kepada komuniti perniagaan lebih-lebih lagi ketika saat sukar sekarang dan tempoh akan datang yang cukup penting untuk ekonomi negara.

“Oleh itu, kami di Facebook akan terus menyatukan sumber kami dan kekal membangunkan alatan digital untuk membantu PKS mengemudi perniagaan dalam norma baharu dan membangun dengan lebih kukuh ketika pasca pandemik ini,” ujarnya.

Insiatif yang dikenali sebagai Program Geran Perniagaan Kecil ini tidak mensyaratkan perniagaan yang mempunyai akaun Facebook semata-mata malah ditawarkan secara terbuka kepada pemohon yang mempunyai dua hingga 50 orang pekerja, menjalankan perniagaan lebih daripada setahun serta terjejas akibat Covid-19.

Permohonan inisiatif berkenaan yang kini dibuka sehingga 12 Oktober ini menawarkan geran berjumlah RM9,400 merangkumi wang tunai sebanyak RM5,900 dan kredit iklan pilihan berjumlah RM3,500.

Maklumat lanjut berkaitan permohonan Program Geran Perniagaan Kecil boleh didapatkan di laman web www.facebook.com/business/boost/grants.

-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.