Pengasas Golog Malaysia (Golog), Ivan Chin Wen Hau banyak menimba pengalaman dalam bidang kewangan dan logistik sebelum menubuhkan syarikat miliknya sekarang. Golog yang ditubuhkannya, bertindak sebagai platform perantara logistik dan penghantaran pintar rangkaian sejuk pertama di Malaysia yang mengendalikan penghantaran logistik secara digital. Dalam temu bual baru-baru ini, Ivan Chin berkongsi kisahnya kepada NiagaTimes tentang perkhidmatan yang disediakan oleh syarikatnya serta kemudahan yang diberikan kepada pelanggan-pelanggannya.
Pemuda yang lebih mesra disapa dengan panggilan Chin ini membuka lembaran kerjayanya dengan bekerja di syarikat teknologi, Samsung. Dia seterusnya bertukar kerja sebagai pengurus bank. Dari situlah idea untuk menubuhkan syarikat logistik tercetus.
โSaya melihat banyak portfolio syarikat e-dagang dan ketika itu juga mulanya peralihan sistem bank untuk memulakan perbankan digital. Sejak itulah saya mula meminati segmen e-dagang dan belajar lebih banyak mengenainya. Saya juga terinspirasi oleh Jack Ma dan juga kisah kejayaan Uber dan Grab,โ katanya.
Golog adalah singkatan bagi โGo Logisticโ dan telah beroperasi sejak tahun 2017 menguruskan penghantaran untuk industri rangkaian sejuk dengan kaedah moden.
โGolog menyediakan kenderaan seperti motosikal, kereta dan trak. Antara kelebihan kami ialah dapat menghantar produk pelanggan kami dalam tempoh masa yang lebih singkat. Ia secara tidak langsung dapat bantu menurunkan kos logistik. Kami di Golog menjaga dan mengendalikan penghantaran logistik, manakala pelanggan pula tidak perlu bimbang kerana dapat fokus sepenuhnya bagi urusan-urusan lain dalam bisnes mereka,โ jelas Chin.
“Cuma ia akan mengambil sedikit masa untuk pelanggan kami memahami cara pengendalian sistem ini. Kami terlebih dahulu akan mengajar dan melatih mereka untuk memuat turun dan menggunakan aplikasi Golog. Dari situlah akaun utama kami akan menyimpan semua data mengenai produk, unit simpanan stok, nombor item stok, jadual penghantaran, invois dan harga.
โWalaupun aplikasi ini dikendalikan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI), kami juga akan mengemas kini dan memaklumkan kepada pelanggan mengenai input dan output stok berdasarkan pelan sistem digital dari sumber perusahaan kami,โ ujarnya.
Chin turut berbangga apabila dirinya bertuah disenaraikan mengikuti program Latihan Alibaba Netpreneur selama sepuluh hari di Hangzhou China dan pengalaman tersebut nyata membantu pertumbuhan bisnesnya setelah berjaya meraih 500 pelanggan dengan menguruskan kira-kira 9,000 hingga 15,000 penghantaran sebulan.
โPerkhidmatan dan penyelesaian logistik Golog yang komprehensif banyak membantu pelanggan dari industri farmaseutikal, pertanian dan pengeluaran buah. Kami akan menghantar produk-produk biasa mereka dengan harga tetap selama setahun. Bagi produk bermusim untuk musim perayaan pula, ia akan dihantar dengan jumlah penghantaran yang lebih tinggi. Selain itu, terdapat juga penghantaran pukal dan penghantaran segera yang mirip dengan perkhidmatan kurier,โ katanya.
Prestasi berkembang Golog tidak disangka-sangka telah menarik minat pelabur baharu. Syarikat penyumbang pemula niaga di bawah Kementerian Kewangan, Cradle Fund antara yang hadir membiayai. Malah, syarikat-syarikat terkenal dalam industri pertanian dan rangkaian sejuk seperti Kami Food Services dan Dulai Fruits Enterprise juga melabur dan menjadi penasihat kepada Golog.
โSetiap kejayaan juga pasti ada cabarannya. Antara kesukaran kami hadapi ketika ini pula adalah dari segi penambahan dan pengurusan tenaga kerja, bakat dan juga pengambilan pekerja. Sebab itulah saya mahu positif dan sering mengingatkan pekerja-pekerja tentang visi, misi dan nilai syarikat kami. Kerja berpasukan adalah keutamaannya.
โOleh kerana pemasaran logistik digital dianggap sesuatu yang baru dalam industri, bukanlah mudah mendapatkan kepercayaan sepenuhnya daripada pelanggan-pelanggan baharu. Selain itu, syarikat kami masih baru dan kami perlu sentiasa mengadakan aktiviti โfund raisingโ untuk meningkatkan pasukan dan operasi kami,โ jelas Chin.
Ditanya mengenai tip untuk berjaya, Chin percaya bahawa sikap dan minat yang betul dalam diri seseorang untuk bekerja adalah penting dalam mencapai sesuatu matlamat.
โTiada jalan pintas untuk berjaya. Setiap orang harus menempuh cabaran dan terus belajar. Untuk menjadi seorang pemimpin yang bagus pula, anda perlulah memberikan teladan yang baik dan berkeyakinan. Saya ambil contoh dari syarikat saya sendiri. Saya tidak mengawal kakitangan tetapi melalui latihan dan motivasi, mereka sangat berdisiplin dan terdorong untuk mencapai sasaran syarikat,โ katanya.
Chin kini menyemat tekad untuk terus mengukuhkan perniagaannya di dalam negara dan melebarkan sayap ke negara-negara seperti Singapura dan Thailand.
โUntuk lima tahun akan datang pula, kami berharap dapat membuka cawangan di rantau Asia Tenggara yang lain terutama di Vietnam, Filipina dan Kemboja,โ jelasnya di akhir bicara.