Anugerah Kepimpinan Strategik Global (GSLA) 2019 yang dianjurkan oleh beberapa gabungan pertubuhan antarabangsa seperti Dewan Antarabangsa Industri Media dan Hiburan, Nai Press, Yayasan Keamanan dan Penyelidikan Dunia, Pusat Kewartawanan Antarabangsa serta New Age Home dengan sokongan organisasi media tempatan iaitu RHA Media dan Star Planet telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Mandarin Court Kuala Lumpur, semalam.

Tokoh perfileman India, Dr. Sandeep Marwah yang hadir sebagai tetamu kehormat bagi menyampaikan anugerah berkata, pengiktirafan yang diberikan kepada pemenang-pemenang jelas menunjukkan bahawa komitmen India dan Malaysia telah membuktikan kecekapan kerjasama kedua-dua negara melibatkan pembangunan media turut boleh diperluaskan ke bidang-bidang yang lain.

“Banyak lagi kerjasama yang boleh dipupuk memandangkan kita ada platform seperti perfileman, komunikasi media, pelancongan, hospitaliti, rekaan fesyen, animasi, perniagaan dan perundangan yang boleh diteroka oleh penggiat-penggiat industri dari kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RHA Media, Datuk Rajendran pula berharap, program seumpama itu yang diadakan kelak boleh menjadi pemangkin kepada perancangan-perancangan baharu yang lebih besar di antara Malaysia dan India.

“Saya melihat acara ini dapat menambah baik ikatan kedua-dua negara dari segi kerjasama antarabangsa, persahabatan dan muhibah terutamanya dalam bidang perfileman, media, budaya dan perniagaan,” katanya.

Salah seorang penerima anugerah GSLA 2019, Shambhu Pokharel

Antara penerima anugerah yang diberi pengiktirafan ialah Pengerusi Eksekutif World Trade Group, Shambhu Pokharel.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Star Planet, Datuk Alan Foo.

 

Shambu Pokharel Global-Strategic-Leadership-Awards-2019-Foto-NiagaTimes.jpg