Oleh: Norliza Ismail
Foto: Fadly
Kesempurnaan teknikal; itu adalah definisi tepat bagi menggambarkan ketelitian kemasan jahitan Jeremy Tok yang menerajui rekaan sut formal lelaki. Jenama yang mempunyai relung pengikutnya tersendiri ini mempunyai kisah sebaliknya bagaimana daripada seorang jurutera berubah profesyen menjadi tukang jahit profesional.
Anak kelahiran Kuantan, Pahang ini memegang Sarjana Kejuruteraan di dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal dari ‘Technische Universitat Ilmenau’ di Jerman dan pernah bekerja sebagai pengurus projek di tanahair setelah tamat belajar.
“Biarpun kerjaya bersesuaian dengan jurusan yang saya belajar dahulu, namun kerana ghairah menerokai fesyen lelaki terutama sut formal menyebabkan saya mencari ruang untuk melampiaskan minat pada setiap hujung minggu.” Ujar jejaka berusia 36 tahun ini kepada niagatimes.com.
Kesemuanya bermula ketika masih bergelar pelajar di Jerman, untuk beberapa majlis rasmi yang harus dihadirinya, Jeremy mengenakan sut milik bapa saudaranya. Dari situ, timbul rasa minatnya terhadap sut formal dan mula meneroka segala maklumat dan sejarah pembuatan sut formal lelaki.
Apabila ditanya, adakah dia terus bermula sebagai tukang jahit, Jeremy berkata, “Oh tidak, saya mula menjahit pada tahun 2012. Setelah tamat belajar dan pulang ke Malaysia, misi saya ialah untuk mencari tukang jahit kot.”
Jeremy menghantar tempahan kot kepada beberapa tukang jahit namun hampa dengan hasil jahitan mereka. Ketika itu, dia mulai merasa kesukaran mencari tukang jahit kot yang mahir menggunakan kaedah lama di dalam pembuatan kot iaitu ‘full canvassed’.
Industri pembuatan sut lelaki ketika itu dibanjiri dengan tukang jahit pengilang yang lebih mementingkan kuantiti daripada kualiti, dan gagal memenuhi kriteria pembuatan kot yang kemas potongannya.
“Mereka menggunakan kaedah gam dan tampal dan bukannya ketelitian lapisan demi lapisan yang dilakukan melalui kaedah ‘full canvassed’. Pastinya, kaedah lama ini mengambil masa yang lama iaitu sekurang-kurangnya tiga bulan, namun hasilnya sangat memuaskan hati. Dan pastinya, harganya lebih mahal kerana kualiti itu tidak boleh disangkal lagi,” cerita Jeremy sungguh-sungguh.
Di dalam pencariannya, Jeremy bertemu dengan gurunya iaitu Ah Kheong yang memang pakar di dalam menjahit kot. Dari situ, Jeremy mulai berguru dan memberanikan diri menjahit kotnya sendiri pada tahun 2012.
Sebelum itu, Jeremy aktif sebagai pengkritik dalam talian untuk forum-forum fesyen luar negara dan tempatan. Malahan, dia pernah dijemput beberapa kali untuk hadir ke sesi menyedang pakaian.
Kebijaksanaannya di dalam menghasilkan kot bermutu tinggi menjadikan nama dan jenama Jeremy Tok mula mendapat perhatian. Kualiti memang menghasilkan kesempurnaan dan pastinya sut formal memerlukan kesemua kriteria fesyen termasuk rekaan dan keselesaan kepada si pemakai. Tambahan pemilik sut formal terdiri daripada ahli perniagaan, pemegang jawatan tinggi dan menteri-menteri yang pastinya memerlukan sut untuk menyerlahkan ciri karisma mereka ketika hadir untuk majlis rasmi mahupun mesyuarat.
“Pembuatan kot sama seperti kejuruteraan, penuh struktur. Pemilihan fabrik, lapisan fabrik jenis bulu untuk proses ‘canvassed’, perlu melalui proses menyedang beberapa kali supaya kot yang dihasilkan benar-benar cantik di tubuh. Ia bukanlah proses sambil lewa, setiap proses remeh yang dilakukan hanyalah untuk memastikan struktur kot itu elok di tubuh pemakai,” kata Jeremy tegas.
Maka tidak hairanlah, kerana ketelitiannya, Jeremy bukan sahaja dikenali di Malaysia malahan luar dari Malaysia. Dia juga dijemput beberapa kali untuk memberikan tip fesyen lelaki di Brunei.
Tulang belakang kejayaannya ialah keluarga. Ibu dan ayahnya tidak pernah putus menyokong setiap keputusan Jeremy biarpun beralih kerjaya daripada jurutera kepada tukang jahit.
“Saya bertuah memiliki keluarga yang menyokong setiap keputusan dan impian saya. Mereka menjadi pendorong utama di atas setiap pencapaian saya hari ini.” Ujar Jeremy.
Jika beberapa tahun lepas, Jeremy beroperasi hujung minggu dengan menempah bilik hotel untuk proses mengambil tempahan para pelanggannya, kini dia sudah mempunyai galerinya di Damansara Perdana.
“Saya menetap di Bukit Tinggi, Pahang dan berulang alik ke Damansara setiap hari. 40 minit perjalanan setiap hari tidak membebankan kerana saya gemarkan suasana tenang dan damai di Bukit Tinggi. Ia adalah inspirasi terbaik saya,” katanya mengakhiri perbualan.
Untuk makluman lanjut sila layari https://www.jeremytok.com/
***