Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) sedang menimbang kemungkinan membawa masuk Kawasaki Heavy Industries Ltd dan Mitsubishi Heavy Industries Ltd dari Jepun ke Malaysia untuk membuka hab keusahawanan aeroangkasa di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, satu mesyuarat telah diatur dengan dua gergasi industri berat Jepun itu semasa lawatan beliau ke Aeromart Nagoya 2019, konvensyen perniagaan bagi industri aeroangkasa yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 September ini.

Acara tiga hari itu akan diadakan di Nagoya, ibu kota Aichi Prefecture, pusat pembuatan utama bagi industri aeroangkasa Jepun.

“Kami sedang menimbang kemungkinan menjadikan Malaysia hab bagi komponen aeroangkasa dengan membawa masuk tenaga kerja dari syarikat seperti Mitsubishi atau Kawasaki ke Malaysia, sekiranya mereka berminat,” katanya.

Mohd Redzuan berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program ‘International Entrepreneurial Engagement: Malaysia Looking East, Japan 2019’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Gombak, semalam. – BERNAMA

International-Entrepreneurial-Engagement-Malaysia-Looking-East-Japan-2019-Kredit-foto-MED.jpg