Usaha Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) untuk membantu usahawan-usahawan Bumiputera dalam memperluaskan rangkaian produk perniagaan mereka dilihat bakal direalisasikan tidak lama lagi apabila Hab Pemborongan Usahawan Bumiputera yang pertama akan dibuka di Kelantan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Menteri MED, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, pembukaan premis pertama itu dijangka melibatkan pembabitan 4,000 usahawan Bumiputera di samping berperanan sebagai pejabat agensi kerajaan berkaitan keusahawanan.
“Kota Bharu merupakan usaha permulaan. Hab ini dijangka mampu menyokong pembangunan usahawan dalam meluaskan pasaran, mempertingkatkan skala perniagaan sekaligus menggalakkan ekonomi setempat.
“Bagi kebanyakan usahawan kita yang masih mencari lokasi untuk menempatkan produk, kaedah ini secara tidak langsung dapat memberi pilihan kepada mereka sekiranya gagal menempatkan barang dagangan di pasar raya. Malah dengan harga lebih murah dari yang kita lihat di tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara TEKUN Nasional dan Liziz Standaco Sdn Bhd di Putrajaya, semalam.
Pada 24 Mei lalu, NiagaTimes melaporkan hasrat MED untuk memperluaskan peranan TEKUN Nasional dengan menyediakan pusat pengumpulan runcit yang lebih selamat dan terjamin kepada usahawan Bumiputera.