Platform digital halal terkenal dari United Kingdom (UK), Halal Street UK kini mengintai peluang untuk mengimport barangan keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia untuk dipasarkan ke negara berkenaan melalui kerjasama program eTrade yang diurus selia oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Pengasas Halal Street UK, Simon Suresh berkata pihaknya menetapkan sasaran sebanyak 500 PKS dari Malaysia untuk terlibat dalam pemasaran produk ke UK berdasarkan faktor permintaan tinggi terhadap produk-produk yang memiliki pensijilan halal Malaysia melalui kerjasama dengan MATRADE.
“Kerjasama dengan MATRADE dapat melayakkan PKS untuk menerima bantuan eTrade seperti kemudahan kewangan apabila mereka mengambil bahagian dalam Halal Street UK.
“PKS yang berkelayakan kelak akan mempunyai akses mudah kepada lebih 44 juta penduduk Muslim di pasaran Eropah dan lebih 15,000 pelanggan sedia ada di platform kami. Di UK sahaja, pasaran makanan halal bernilai 770 juta pound British,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di ibu pejabat MATRADE Kuala Lumpur, semalam.