Gedung dalam talian terbesar untuk produk Malaysia di United Kingdom, Halal Street UK menggesa agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk membantu lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan pensijilan halal bagi menembusi pasaran halal global.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Halal Street UK, Simon Suresh berkata Malaysia mampu kembali menjadi ‘Harimau Asia’ melalui sektor halal dengan sokongan bantuan dan dana daripada pelbagai pihak yang terbabit dalam sektor eksport halal.
“Sektor halal negara mempunyai potensi yang luas sebagai penjana sumber pendapatan yang kompetitif kepada ekonomi negara.
“Namun begitu, agensi-agensi berwajib perlu mempermudahkan proses usahawan untuk mendapatkan sijil halal,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Simon, ramai usahawan berminat untuk meneroka pasaran eksport halal namun terbantut kerana tidak mempunyai sijil halal.
“Sehingga tahun lepas, hanya 7,000 PKS daripada 200,000 sahaja yang mempunyai sijil halal.
Sekiranya lebih banyak PKS mempunyai sijil halal, ini dapat melahirkan lebih ramai pemain industri yang kompetitif selain daripada membantu kerajaan dalam meningkatkan nilai eksport halal,” ujarnya.
Tambah Simon, selain bekerjasama dengan pelbagai pihak, Halal Street UK juga menggesa agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk membantu mempersiapkan PKS menerusi kursus latihan, insentif dan geran sebagai penambah nilai kepada produk mereka di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini pernah mendedahkan bahawa pasaran halal global menawarkan peluang yang sangat besar untuk PKS tempatan memandangkan sijil halal Malaysia mempunyai reputasi yang besar di peringkat dunia.
-NIAGATIMES