Hampir 500,000 hektar kebun sawit di seluruh negara telah peroleh sijil MSPO

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin telah menghadiri program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia di Marang, Terengganu semalam.

Program diadakan bertujuan memberi penerangan kepada pekebun kecil sawit mengenai kepentingan dan keperluan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berkata, pihaknya komited memastikan penanam sawit terdiri daripada pengusaha ladang dan pekebun kecil dapat memenuhi kriteria MSPO.

“Pensijilan MSPO adalah antara langkah bagi memastikan penanaman sawit menepati peraturan alam sekitar dan amalan pertanian baik yang diterima di peringkat antarabangsa.

“Pihak berkepentingan di luar negara sering mengaitkan penanaman sawit sebagai penyumbang kepada kemusnahan hutan, alam sekitar dan ancaman habitat hidupan liar. Tuduhan ini telah menjejaskan imej minyak sawit Malaysia.

“Bagi menangkis tohmahan negatif ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkukuhkan imej industri sawit,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah KPKK, usaha bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil bagi Pensijilan MSPO melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) sedang giat dilaksanakan.

“Melalui SPOC, pekebun kecil akan dibantu oleh Pegawai Tunas Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk melaksanakan amalan pertanian baik dan seterusnya melaksanakan pensijilan MSPO di kebun masing-masing.

“Sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak 162 SPOC di bawah seliaan MPOB telah berjaya memperoleh MSPO membabitkan 126,496 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kebun 499,195.97 hektar,” ujarnya.

-NIAGATIMES

 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.