Platform runcit dalam talian yang berpangkalan di Indonesia, HappyFresh, akan memasuki segmen pasaran runcit fizikal di Malaysia susulan kerjasamanya dengan jenama pasar raya antarabangsa, bagi memperluas dan mengukuhkan kedudukannya di negara ini yang dianggap sebagai ‘pasaran yang sangat penting.’
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Ronald Chan berkata jenama pasar raya antarabangsa itu yang beliau enggan mendedahkan namanya, mahu memulakan perniagaan mereka di Malaysia, dengan HappyFresh menawarkan barangan runcit melalui platformnya.
“Malaysia adalah pasaran yang agak maju dalam jualan runcit secara dalam talian kerana ia mempunyai pemain besar dalam segmen tersebut, dan bagi kami, pasaran Malaysia lebih mudah sedikit untuk beroperasi berdasarkan jumlah trafiknya berbanding lain-lain negara Asia Tenggara.
“(Dari segi pertumbuhan) saya percaya kita perlu bekerja keras di sini, namun saya boleh katakan bahawa pasaran Malaysia sangat penting kepada kami,” katanya kepada Bernama selepas sesi pembentangannya mengenai “Building On-Demand Asia At A Click Of A Button” di sini semalam.
Sesi tersebut diadakan sempena persidangan teknologi Wild Digital yang berlangsung selama dua hari.
Mengulas mengenai kehadiran HappyFresh di Asia Tenggara, Chan berkata syarikat itu merancang meneroka Filipina dan Vietnam kerana kedua-dua pasaran tersebut dianggap sebagai berpotensi tinggi.
“Kami melakukan penyelidikan selama beberapa bulan dan telah melihat pasaran ini serta menganalisis pesaing, dan memutuskan Filipina dan Vietnam merupakan pasaran menarik untuk ditembusi dan tepat pada masanya,” katanya. – BERNAMA