Harga RON 90 dan diesel subsidi Indonesia kekal, fiskal negara kukuh

Kerajaan Indonesia mengesahkan harga bahan api bersubsidi di negara itu akan terus dikekalkan pada paras semasa sehingga penghujung tahun ini, disokong oleh kedudukan fiskal yang masih kukuh.

Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa, berkata kerajaan mempunyai keupayaan kewangan mencukupi untuk meneruskan dasar subsidi berkenaan berdasarkan perancangan belanjawan serta penampan fiskal sedia ada.

Beliau menegaskan tiada kenaikan harga akan dikenakan ke atas bahan api bersubsidi dalam tempoh tersebut.

“Harga bahan api bersubsidi tidak akan dinaikkan sehingga akhir tahun ini,” katanya dalam sidang media.

Harga bahan api bersubsidi kekal selepas kerajaan sebelum ini mengumumkan tiada perubahan bagi April. Petrol RON 90 terus dijual pada Rp10,000 (kira-kira RM2.37) seliter, manakala diesel bersubsidi (biosolar) ditetapkan pada Rp6,800 (sekitar RM1.61) seliter, dengan kerajaan menanggung perbezaan kos.

Bagi bahan api tidak bersubsidi, harga ditentukan mengikut mekanisme pasaran. Petrol RON 92 (Pertamax) dijual sekitar Rp12,300 (RM2.91) seliter dan RON 98 (Pertamax Turbo) pada kira-kira Rp13,100 (RM3.10) seliter bagi Mac, tertakluk kepada perubahan harga minyak global dan kadar tukaran mata wang.

Sementara itu, diesel bukan subsidi seperti Dexlite ditetapkan pada Rp14,200 (RM3.36) seliter dan Pertamina Dex pada Rp14,500 (RM3.43) seliter.

Mengulas lanjut, Purbaya berkata kerajaan telah melakukan simulasi fiskal dengan andaian harga minyak mentah global sekitar US$100 setong sehingga hujung tahun. Berdasarkan unjuran itu, defisit belanjawan dijangka kekal terkawal pada sekitar 2.9 peratus hasil langkah penjimatan dan kecekapan perbelanjaan.

Beliau turut memaklumkan kerajaan mempunyai lebihan belanjawan (SAL) berjumlah kira-kira Rp420 trilion yang boleh digunakan sebagai penampan kewangan sekiranya diperlukan.

Dalam pada itu, beliau berpandangan harga minyak global tidak akan kekal tinggi dalam jangka masa panjang, selain faktor politik antarabangsa, khususnya di Amerika Syarikat, turut mempengaruhi pergerakan harga komoditi tersebut.

Sehubungan itu, Purbaya menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang mengenai kedudukan kewangan kerajaan.

“Orang ramai tidak perlu membuat spekulasi bahawa kerajaan kehabisan dana kerana kedudukan kewangan kita masih mencukupi dan terkawal,” katanya.

-NIAGATIMES

kredit-foto-Pertamina.jpg