‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’ jadi teras agenda KUSKOP tahun ini

Produk dan jenama Malaysia perlu terlebih dahulu mendapat kepercayaan serta sokongan kukuh dalam pasaran domestik sebelum berupaya menembusi pasaran antarabangsa, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata kejayaan jenama-jenama antarabangsa tidak bermula dengan sokongan luar negara, sebaliknya dibina melalui keyakinan rakyat negara asal yang menggunakan, membeli dan menyokong produk tempatan secara konsisten.

“Jenama-jenama antarabangsa ini bermula dengan rakyat negara sendiri yang membeli barang mereka, memakai jenama mereka, makan makanan mereka dan menyokong perniagaan mereka. Daripada situlah lahir kekuatan domestik yang akhirnya melahirkan keyakinan global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Tahun 2026 di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat Kuala Lumpur semalam.

Steven Sim berkata, produk tempatan sebenarnya mempunyai kehebatan dan sekurang-kurangnya potensi yang setanding dengan produk luar negara, namun keyakinan terhadap produk buatan Malaysia perlu bermula daripada rakyat sendiri.

“Syaratnya mudah. Sebelum dunia percaya kepada produk kita, kita sendiri mesti percaya kepada produk kita terlebih dahulu,” katanya.

Mengulas faktor yang menjadi penghalang kepada produk Malaysia untuk berkembang lebih jauh, beliau berkata antara isu yang sering dibangkitkan ialah kos pengeluaran yang tinggi sehingga menyebabkan harga produk menjadi kurang kompetitif.

Sehubungan itu, beliau menyeru institusi kewangan memainkan peranan lebih proaktif bagi membantu usahawan tempatan, termasuk melalui pengurangan kadar faedah, memudahkan akses pembiayaan dan membantu perniagaan meningkatkan kapasiti tanpa dibebani kos kewangan yang menekan.

Dalam pada itu, Steven Sim mengumumkan cadangan pelaksanaan satu usaha berskala besar dikenali sebagai ‘Rak Hebatkan Perniagaan Malaysia’ di seluruh negara bagi menghimpunkan produk-produk berkualiti keluaran usahawan tempatan.

Menurut beliau, inisiatif itu akan dilaksanakan merangkumi saluran atas talian dan luar talian dengan menyediakan ruang khusus bagi produk Malaysia untuk dipasarkan secara lebih tersusun dan mudah diakses.

“Rak ini bukan hanya untuk pembeli dalam kalangan rakyat, tetapi juga perlu dimanfaatkan dalam proses perolehan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Kita semua ada tanggungjawab untuk hebatkan perniagaan Malaysia,” katanya.

Beliau turut menegaskan sokongan terhadap produk tempatan perlu bermula daripada kepimpinan dan agensi kerajaan sendiri, termasuk KUSKOP.

“Mula dengan KUSKOP. Semua jabatan dan agensi di bawah kementerian wajib memberi keutamaan kepada produk Malaysia,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata cenderahati kepada tetamu kementerian, delegasi luar negara atau hadiah sempena mesyuarat antarabangsa seharusnya terdiri daripada jenama tempatan, selaras dengan usaha mempromosikan produk Malaysia ke peringkat global.

“Kita tidak boleh pakai produk luar, kemudian menyuruh rakyat menyokong produk Malaysia. Itu tidak konsisten,” katanya.

Bagaimanapun, Steven Sim menegaskan sokongan terhadap produk tempatan bukan berasaskan simpati atau semata-mata atas dasar ehsan, sebaliknya sebagai satu misi strategik untuk membangunkan perniagaan tempatan agar mampu berkembang menjadi jenama antarabangsa.

“Kita sokong produk kita bukan atas dasar kebajikan. Kita sokong atas misi Hebatkan Perniagaan Malaysia supaya produk negara boleh berdiri sama tinggi di peringkat dunia,” katanya.

-NIAGATIMES

Steven-Sim.jpg