Hong Leong Bank percepat kelulusan kredit untuk PKS, luluskan RM1.3 bilion dana

Untuk memastikan bahawa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapat bantuan kewangan yang diperlukan pada kadar yang pantas, Hong Leong Bank (HLB) meningkatkan dan mempermudahkan proses permohonan PKS untuk Bantuan Khas Bank Negara Malaysia, Kemudahan Bantuan Khas (BNM SRF).

Sehingga 30 April 2020, HLB telah meluluskan sekitar RM1.3 bilion kemudahan pinjaman di bawah BNM SRF untuk lebih daripada 1,600 PKS yang merangkumi pelbagai sektor termasuk perdagangan borong dan runcit, pembuatan, pembinaan serta sektor pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, pihaknya tetap berkomunikasi dengan pelanggan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membantu PKS sebaik mungkin dengan memberikan kredit dan menangguh pembayaran yang diperlukan oleh PKS untuk membantu pengurusan aliran tunai jangka pendek.

“Kami juga membantu mereka mendigitalisasikan perbankan mereka untuk membolehkan mereka beroperasi di bawah pergerakan terhad. Dengan itu, HLB berharap PKS bersiap sedia untuk bangkit secepat mungkit apabila keadaan bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perbankan PKS di HLB, Terrence Teoh berkata, fleksibiliti kepada proses permohonan telah memberi impak positif dalam meringankan beban dan kegelisahan pelanggan.

“Kami membuatnya lebih mudah dan lancar bagi pelanggan, di mana mereka dapat mengajukan permohonan melalui e-mel dan menyelesaikan permohonan melalui penerimaan persetujuan digital.

“Ini bukan sahaja selaras dengan strategi HLB yang mendahulukan pendekatan digital tetapi juga membolehkan kami menolong pelanggan pada masa kritikal PKP di mana ada sekatan fizikal yang menghalang proses untuk melaksanakan perkhidmatan bank secara tradisional,” katanya.

-PR NEWSWIRE

Domenic-Fuda-Pengarah-Urusan-Kumpulan-dan-Ketua-Pegawai-Eksekutif-HLB.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.