Syarikat kontraktor minyak dan gas (O&G) tempatan, HRSB Holdings Sdn Bhd (HRSB Holdings) telah berjaya menerima pembiayaan daripada SME Bank yang keseluruhannya bernilai RM132 juta bagi tujuan modal kerja dan pembelian aset untuk melaksanakan kontrak yang diterima mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Presiden Kumpulan HRSB Holdings, Datuk Mohd Faizal Mohd Hassim berkata, syarikatnya telah berjaya menjadi kontraktor pilihan dalam industri O&G di Malaysia hasil pembiayaan dan bimbingan yang diberikan oleh SME Bank.
โMalah, kami berkeupayaan untuk menjalankan tiga projek Turnaround (TA) pada masa yang sama dengan adanya tenaga kerja yang cekap serta kemudahan yang lengkap,โ katanya pada Majlis Penerimaan Pembiayaan RM132 Juta HRSB Holdings daripada SME Bank di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, semalam.
Tambah Faizal, HRSB Holdings turut melihat kepada objektif perniagaan jangka panjang selain industri O&G dengan mempelbagaikan perkhidmatan yang merangkumi sektor Telekomunikasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pembuatan Produk Pengguna, Infrastruktur dan Pembinaan.
โIni selari dengan matlamat HRSB Holdings untuk berdaftar sebagai syarikat awam (Berhad) yang tersenarai dalam pasaran Bursa Malaysia pada tahun 2024 serta mencapai hasil jualan tahunan berkumpulan sebanyak RM1 bilion, seiring sasaran Program TITAN SME Bank,โ jelasnya.
Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail berkata, pihaknya telah menyalurkan bantuan pembiayaan tambahan melalui Pembiayaan Kontrak SME Bank bagi membantu perniagaan HRSB Holdings berkembang ke peringkat yang lebih tinggi berikutan penilaian serta prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan oleh mereka.
โHubungan perniagaan antara SME Bank dengan HRSB Holdings pada peringkat awalnya bermula melalui pembiayaan Skim Siswazah Muda pada tahun 2007.
โSebagai nilai tambah untuk pelanggan kami, HRSB Holdings turut terpilih untuk menyertai Program TITAN SME Bank, sebuah program pembangunan usahawan peringkat tinggi.
โPeserta Program TITAN akan dibimbing untuk mencapai penilaian RM1 bilion atau bersamaan dengan 500 peratus CAGR (Kadar Pertumbuhan Tahunan Majmuk) dalam tempoh lima tahun,โ ujarnya.
-NIAGATIMES