I-Berhad sasar pembangunan sosio-ekonomi melalui ‘One Shah Alam, One Destination’

Syarikat I-Berhad menjangkakan kehadiran sekurang- kurangnya 17 juta pelawat ke i-City menjelang Disember tahun ini dan menjemput komuniti sekitar i-City untuk berkembang bersama ‘Bandar Teknologi’ di Shah Alam itu.

Pada taklimat media pasca mesyuarat agung tahunan hari ini, Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata bahawa i-City telah menikmati pertumbuhan yang sihat, terutamanya sejak pembukaan anak syarikatnya DoubleTree by Hilton i-City pada Julai tahun lepas.

“Kejayaan I-Berhad terletak pada sinergi antara pembangunan hartanahnya, pelaburan hartanah serta segmen riadah dan hospitaliti.

“Oleh itu, pada tahun lepas, kami memperuntukkan RM10 juta untuk menambah baik segmen riadah kami dengan projek penambahbaikan yang akan dilaksanakan tahun ini, kami akan menyaksikan penambahan taman tema tertutup Xcite seluas 4,654 meter persegi dan pusat pengalaman salji lima dimensi (5D) di atas ‘lightscapes’ yang sangat mesra Instagram,” katanya.

Lim menambah bahawa penambahbaikan itu, bersama-sama dengan sambutan penyewa untuk Central Mall i-City dan i-City Finance Avenue yang sangat menggalakkan akan mewujudkan sinergi yang lebih hebat dengan DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City yang mempunyai ruang perjumpaan sebanyak 1,700 meter persegi yang sesuai untuk aktiviti Bleisure seperti mesyuarat, insentif, konvensyen, pameran (MICE) dan acara tahunan.

Oleh itu, kumpulan I-Berhad juga mengumumkan program One Shah Alam, One Destination (Satu Shah Alam, Satu Destinasi) yang akan berlangsung selama setahun bermula bulan Julai tahun ini.

Menerusi program itu, I-Berhad ingin menjemput komuniti sekitar i-City untuk mendapat manfaat daripada jejak kaki, ruang fizikal dan aplikasi super i-City yang kini telah dimuat turun oleh lebih 100,000 pengguna.

“Dengan mengambil kira amalan kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kami ingin memainkan peranan kami dan memartabatkan perusahaan budaya, eko, sosial dan perusahaan mikro tempatan dengan menjemput mereka untuk bekerjasama dengan kami.

“Terdapat banyak ruang dalam alam fizikal dan maya di mana kita boleh meneroka peluang untuk berkembang bersama dan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif di i-City untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan menyumbang ke arah kemajuan sosio-ekonomi ibu kota Selangor, Shah Alam,” tambah Lim.

-NIAGATIMES

I-Bhd-56th-AGM-RRRR4245.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.