Dalam usaha memberi inspirasi untuk bertindak dan menggalakkan perbincangan, Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 bakal menjadi tuan rumah kepada lebih 10 persidangan mulai 4 hingga 6 Oktober 2023 bertempat di Pusat Persidangan Kuala Lumpur.
Antara topik persidangan yang dibincangkan termasuklah bandar rendah karbon, ekonomi hidrogen, pengurusan sisa, ekonomi kitaran, pemuliharaan air, kecekapan tenaga dan banyak lagi yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
IGEM 2023 yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) anjuran bersama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) membawa tema Usaha Ke Arah Rendah Karbon: Kepimpinan Dalam Tindakan Iklim di mana persidangan yang diadakan akan dipimpin dan disertai oleh para perwakilan terkemuka daripada pelbagai organisasi seperti Business Finland, Business Sweden, Akademi Sains Malaysia dan Bursa Malaysia serta para tetamu kehormat dari pelbagai negara seperti Sweden, Austria dan Canada.
Ruang pameran IGEM yang menjadi daya tarikan ramai pada tahun akan disusun berdasarkan tema-tema Memperkasakan Bandar, Mobiliti Elektrik, Tenaga Kurang Karbon, Mempercepatkan Kitaran dan Memulihara Biodiversiti. Antara peserta antarabangsa yang akan hadir ialah Arctech Solar (China), Phoenix Green Energy (Austria), International Science Council (Perancis) dan Saxon Renewable Pte Ltd (Singapura).
IGEM 2023 yang dibawakan dengan kerjasama PETRONAS telah memperoleh penajaan daripada syarikat-syarikat terkemuka termasuk: Tenaga Nasional Berhad, Leader Energy Holdings Berhad, UOB Bank (Malaysia) Berhad, Solarvest Holdings Berhad, Samaiden Group Berhad, Cypark Resources Berhad, Polymateria Ltd, Cenergi SEA Bhd, Bio Eneco, Canadian Solar dan Lenovo.
Bagi meningkatkan lagi momentum ekonomi hijau, IGEM 2023 akan membawakan sesi pemadanan perniagaan yang ditunggu-tunggu anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan MGTC.
Untuk menyertai persidangan dalam Usaha Ke Arah Rendah Karbon, daftar sekarang dengan menghantar e-mel kepada faiz@mgtc.gov.my. Untuk maklumat lanjut tentang IGEM 2023, sila layari www.igem.my.
-NIAGATIMES