Illumination dan Nintendo Co Ltd (Nintendo) telah melancarkan treler pertama bagi The Super Mario Bros. Movie, filem animasi baharu yang didasarkan kepada dunia Super Mario Bros di platform Nintendo Direct yang distrimkan, baru-baru ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Illumination, Chris Meledandri berkata, pihaknya sangat teruja untuk akhirnya berkongsi pandangan pertama pada The Super Mario Bros Movie.
โMario dan Luigi dari Nintendo adalah watak yang paling ikonik dan digemari dalam dunia permainan dan merupakan satu penghormatan yang luar biasa untuk bekerjasama dengan Miyamoto-san sejak beberapa tahun lalu untuk membawa cerita ini ke penggambaran filem dalam satu cara yang autentik sehingga ke akar umbinya,โ katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Wakil Pengarah Felo Nintendo, Shigeru Miyamoto berkata, pihaknya telah bekerja untuk satu tempoh masa yang sangat lama dengan Chris dari Illumination dalam memikirkan persoalan tentang konsep dan jalan cerita filem berkenaan.
โKami kini boleh membuat semua orang menonton filem itu. Bukan hanya cerita itu sendiri, tetapi melalui penampilan watak, emosi mereka, pelbagai gerak isyarat, kami telah membina sebuah dunia Super Mario dengan menggunakan bahasa filem.
โTayangan filem itu sudah hampir, dan kami kini dalam fasa pelarasan halus untuk memuktamadkan semua butiran, sama seperti yang kami lakukan dengan sebuah permainan Nintendo. Ia adalah sebuah filem untuk dinikmati oleh semua peringkat umur, dan saya meminta semua orang untuk bersorak bagi Mario di pawagam,โ jelasnya.
Filem animasi The Super Mario Bros. yang dihasilkan oleh Chris Meledandri dari Illumination dan Shigeru Miyamoto dari Nintendo, akan dibiayai bersama oleh Universal Pictures dan Nintendo, dan dijadualkan akan dikeluarkan di seluruh dunia oleh Universal Pictures pada tahun 2023.
-NIAGATIMES