ILTIZAM NEUROKHALIFAH PERKASA PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

Neurokhalifah adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2014, di mana asal usul penubuhan syarikat ini adalah bermula daripada pemilikan tunggal dan kini perniagaan ini telah didaftarkan sebagai Neurokhalifah Group Sdn Bhd pada tahun 2019.

Pada permulaan, perniagaan ini hanya memfokuskan kepada perkhidmatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak sahaja. Bermula dengan empat orang pekerja dengan satu cawangan tadika di Jenjarom, Neurokhalifah Group kini berkembang melalui empat buah cawangan tadika, dua buah akademi dan jualan produk pakaian di bawah jenama Naurakasih dengan jumlah bilangan pekerja seramai 60 orang.

“Saya sangat bersyukur kerana diberikan peluang oleh Allah SWT untuk memulakan dan membina syarikat bersama suami saya, Encik Muhammad Zaim bin Ab Hamid serta barisan ‘team’ yang sangat berdedikasi bagi merealisasikan impian ini bersama. Saya sebenarnya tak pernah terfikir untuk berada di tempat ini sekarang.

“Namun, antara perkara yang menyebabkan saya ingin bangkit untuk membina kerjaya dan perniagaan ini adalah kerana saya telah melalui pengalaman dibesarkan dalam keluarga sederhana dan cabaran mencari pekerjaan yang sukar walaupun saya merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana pada tahun 2012.

“Justeru, saya nekad untuk menceburi bidang perniagaan untuk tekad menjadikan perniagaan ini sebagai platform memberi peluang pekerjaan kepada graduan bukan dan lepasan ijazah dalam masa yang sama berazam untuk mengubah nasib keluarga. Industri pendidikan menjadi pilihan saya kerana ianya lebih dekat dengan diri saya sendiri kerana saya merupakan graduan Ijazah sarjana Muda Pendidikan. Oleh yang demikian, pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki boleh digunakan sebaik mungkin untuk mengembangkan perniagaan ini.

“Pengalaman bekerja di dalam dunia penyelidikan juga menjadikan kecenderungan minat untuk menceburkan diri di dalam dunia perniagaan Pendidikan awal kanak-kanak sebagai permulaan. Malah niat untuk menceburi bidang perniagaan ini semakin membara kerana ingin membantu bangsa dan agama dalam aspek ekonomi. Saya percaya, untuk memulakan langkah berani ini saya perlu berani menempuh cabaran dan sanggup berkorban untuk bermula dari bawah,” jelas Pengasas Neurokhalifah Group, Siti Nor Hazanah Mohamed.

Tidak menoleh ke belakang, beliau mengorak langkah dengan membuka Akademi Neurokhalifah yang menyasarkan pendidikan tambahan kepada pelajar berumur dari tujuh hingga 15 tahun serta mengeluarkan produk pakaian yang ketika ini sedang aktif menghasilkan telekung di bawah jenama Naurakasih.

Bagi cawangan-cawangan tadika dan akademi, pada ketika ini Siti Nor Hazanah menyasarkan Daerah Kuala Langat, Selangor sahaja, namun jualan produk pakaian mempunyai target pasaran yang lebih luas dengan menyasarkan satu Malaysia kerana perniagaan ini fokus secara aktif membuat jualan secara dalam talian.

“Semua cawangan tadika yang ditubuhkan Neurokhalifah menggunakan The Little Caliphs Program (TLCP). Kami berpegang kepada misi utama Little Caliphs iaitu untuk menanamkan rasa cinta kanak-kanak kepada Islam serta memberi pengetahuan sebagai persediaan untuk menjadi hamba Allah, khalifah dan umat Nabi Muhammad yang soleh dan solehah.

“Alhamdulillah sehingga tahun 2021, Neurokhalifah telah melahirkan seramai 2,124 pelajar yang boleh membaca, menulis dan mengaji al-Quran dengan jayanya. Kami komited untuk merealisasikan misi apabila melihat ibu bapa gembira setelah anak-anak mereka menunjukkan perkembangan yang semakin baik dari masa ke masa sepanjang mendapat pendidikan bersama-sama Neurokhalifah.

“Perkembangan positif ini diteruskan dengan membina Akademi Neurokhalifah bagi menyediakan pendidikan tambahan yang berterusan. Kepuasan inilah yang sentiasa menjadi api yang membakar semangat untuk kami terus berjuang walaupun pelbagai cabaran perlu ditempuhi,” katanya.

Neurokhalifah Group Sdn Bhd mempunyai misi dan visi yang besar untuk dilaksanakan dan direalisasikan. Visi Neurokhalifah adalah ingin memberikan perkhidmatan dengan memberi nilai tambah secara efektif dan efisien kepada komuniti dan bangsa berpaksikan agama islam.

Untuk perancangan masa terdekat, Neurokhalifah ke arah menyediakan perkhidmatan Pendidikan yang lebih berkualiti.  Sebelum penghujung tahun 2022, pembukaan cawangan Akademi Neurokhalifah di Sijangkang mensasarkan 200 orang pelajar untuk berdaftar di di bawah akademi di cawangan Sijangkang dan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan sebagi tutor kepada orang ramai. Selain itu, jenama Naurakasih juga giat diperkukuhkan melalui pembukaan ‘warehouse’ Naurakasih bagi menampung permintaan yang tinggi secara atas talian.

Ketika berkongsi pengalaman yang sukar dilupakan, Siti Nor Hazanah akui bahawa tarikh 18 Mac 2020 menjadi detik mencabar buatnya yang memikirkan hala tuju perniagaan ketika tempoh pandemik Covid-19. Pada waktu itulah industri pendidikannya mula berjaya diubah kepada atas talian sepenuhnya.

“Bagi saya, pengalaman adalah harta yang kita tak mungkin dapat beli dari mana-mana. Daripada pengalaman getir inilah sebenarnya kita belajar untuk sentiasa fleksibel dalam merubah perancangan dan strategi bagi mengikuti perkembangan dan isu semasa demi membawa hala tuju perniagaan yang lebih jelas. Dalam masa yang sama, anda perlu sentiasa melihat masalah atau cabaran sebagai peluang. Fikiran perlu positif dan optimis kerana keadaan yang tenang, keputusan akan lebih jelas dan tepat.

“Saya tidak pernah untuk berhenti belajar terutama ilmu pemasaran, ilmu pengurusan, kepimpinan serta sentiasa belajar daripada individu atau syarikat yang telah berjaya. Pesanan saya kepada semua pembaca di luar sana yang sedang berusaha keras untuk meningkatkan perniagaan, walaupun saya bukan insan yang selayaknya, berpeganglah kepada prinsip N.I.A.T.

“N bermaksud ‘nawaitu’ kenapa perniagaan itu sendiri dimulakan sekiranya jelas hala tuju peniagaan maka semakin jelaslah kenapa perniagaan ini wujud dan saya berpegang pada hadis Rasulullah ‘Innamal a’malu binniyat’ yang bermaksud ‘sesungguhnya segala perbuatan itu bergantung pada niatnya’.

“I adalah ‘insan’, untuk siapa perniagaan ini dijalankan dan berpeganglah pada sabda Rasullah ‘Sebaik-baik manusia adalah manusia yang paling bermanfaat bagi manusia lain’.

“A adalah ‘amanah’. Galaslah amanah ini sebaik mungkin kerana Imam Ghazali pernah berpesan bahawa perkara yang paling berat ialah ‘memegang amanah’. Dalam perniagaan, kepercayaan pelanggan adalah amanah yang perlu digalas sehabis baik.

“T adalah ‘tenang’. Bertindaklah dalam keadaan yang tenang penuh dengan perancangan dan strategi dan laksanakan sepenuh jiwa raga. Selebihnya, tawakal kepada Allah,” ujarnya.

Siti Nor Hazanah menetapkan matlamat dan perancangan Neurokhalifah untuk meningkatkan penyelidikan dan pembangunan di dalam industri pendidikan bagi menambah baik perkhidmatan pendidikan serta perkhidmatan yang diberikan.

“Kami sasarkan untuk membuka dan menambah cawangan Akademi Neurokhalifah setelah mendapat permintaan yang tinggi kerana masyarakat jelas tahu nilai pendidikan dalam membina generasi baru yang boleh membela bangsa dan agama perlu berilmu.

“Selain itu Neurokhalifah ingin menubuhkan Yayasan Neurokhalifah yang boleh membantu golongan asnaf dan yang memerlukan untuk mendapat bantuan perbelanjaan dari sudut Pendidikan di mana kita sedar ramai insan yang ingin mendapatkan pendidikan berterusan namun tidak semua berpeluang kerana kemampuan ekonomi berbeza,” katanya di akhir perbualan.

-NIAGATIMES

neurokhalifah 3 neurokhalifah neurokhalifah 3 neurokhalifah 2 neurokhalifah 1

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.