Industri durian perlu lonjakan baharu melalui kerjasama Malaysia–China

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru kerjasama lebih erat antara Malaysia dan komuniti perniagaan China bagi memperkukuh industri durian negara, terutama dalam aktiviti hiliran serta perluasan ladang Musang King.

Dalam ucapannya merasmikan Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi Cina Global 2025 di Wisma MCA hari ini, beliau menegaskan bahawa ‘diplomasi durian’ harus diterjemahkan sebagai satu bentuk kerjasama perniagaan yang mampu meningkatkan nilai ekonomi Malaysia.

“Diplomasi durian bukan sekadar diplomasi, ia perniagaan durian. Kerjasama dengan ahli perniagaan China penting untuk menambah ladang Musang King dan membangunkan sektor hiliran,” katanya.

Turut hadir ialah Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Durian Malaysia, khususnya Musang King, terus mencatat permintaan kukuh di China. Pada tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan eksport durian ke China hampir mencecah RM1 bilion, meskipun melibatkan hanya satu atau dua wilayah negara itu.

Data Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula menunjukkan sejumlah 115,359 tan metrik durian segar serta durian dalam bentuk ‘pulp and paste’ bernilai RM6.37 bilion telah dieksport ke China dari 2018 hingga 2025. Nilai eksport dijangka meningkat kepada RM1.8 bilion menjelang 2030.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut menekankan perlunya Malaysia mempelajari dan menyesuaikan diri dengan kemajuan China dalam kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi dan pendidikan teknikal.

Beliau berkata, perubahan teknologi global menuntut Malaysia meningkatkan kemahiran digital, kesalinghubungan dan kemampuan perusahaan kecil dan sederhana agar kekal berdaya saing.

Dalam konteks peralihan hijau, Malaysia mengalu-alukan kerjasama lebih mendalam dengan China dalam bidang teknologi solar, mobiliti elektrik, pembuatan hijau dan pertanian pintar.

Usaha itu, katanya, mampu membuka industri baharu, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengukuhkan ketahanan ekonomi.

“Kerjasama adalah aset terpenting kita. Malaysia akan terus memperkukuh kolaborasi dengan China, ASEAN dan diaspora global bagi mencetus inovasi serta menarik pelaburan,” ujarnya.

-NIAGATIMES

Zahid-Hamidi-durian-China-GAMBAR-HIASAN.jpg