Keperluan memperkukuh standard sistem lantai industri di Malaysia terus diberi perhatian apabila Nippon Paint Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menganjurkan bengkel khas bagi meningkatkan kesiapsiagaan industri pembinaan dalam memenuhi tuntutan sektor berteknologi tinggi dan ekonomi digital.
Program yang berlangsung di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Nippon Paint itu menghimpunkan kontraktor serta pemain industri untuk membincangkan cabaran semasa dan masa depan berkaitan pelaksanaan sistem lantai industri yang menepati piawaian global.
Pengurus Besar Nippon Paint Malaysia, Tay Sze Tuck berkata perkembangan pesat Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi pusat data, pembuatan berteknologi tinggi dan industri bernilai tinggi memerlukan komponen infrastruktur asas, termasuk sistem lantai, diberi perhatian lebih serius.
Beliau berkata sistem lantai bukan lagi sekadar elemen kemasan, sebaliknya memainkan peranan kritikal dalam menjamin kestabilan operasi, keselamatan serta kecekapan kos jangka panjang.
“Jika sistem lantai tidak dirancang dan dilaksanakan mengikut spesifikasi sebenar, ia boleh mengakibatkan gangguan operasi, meningkatkan risiko keselamatan dan menyebabkan kegagalan struktur lebih awal daripada jangkaan,” katanya.
Menurut beliau, fasiliti moden seperti pusat data, kilang pemprosesan makanan dan pembuatan berketepatan tinggi memerlukan sistem lantai dengan ciri khusus seperti kawalan elektrostatik, ketahanan terhadap bahan kimia, keupayaan menampung beban tinggi serta pematuhan standard kebersihan yang ketat.
Sepanjang bengkel itu, peserta turut berkongsi pandangan mengenai cabaran di tapak projek, termasuk kekurangan kefahaman teknikal dan keperluan latihan berterusan bagi memastikan mutu pelaksanaan sentiasa konsisten.
Seorang peserta berkata walaupun akses kepada bahan binaan dan teknologi kini semakin mudah, aspek kemahiran teknikal masih menjadi cabaran utama dalam memastikan aplikasi sistem lantai dilakukan dengan tepat.
Peserta lain pula menegaskan bahawa komunikasi awal antara kontraktor, perunding dan pelanggan amat penting bagi memastikan sistem lantai yang dipilih mampu memenuhi keperluan operasi semasa serta perkembangan masa depan.
Bengkel berkenaan turut menampilkan demonstrasi aplikasi sistem lantai industri berprestasi tinggi sebagai pendedahan praktikal kepada peserta.
Tay berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen bersama industri dalam mempertingkat mutu pembinaan tempatan agar selari dengan aspirasi Malaysia menarik lebih banyak pelaburan strategik dan membangunkan infrastruktur bertaraf antarabangsa.
-NIAGATIMES





















































