Kos memasak di rumah terus menunjukkan kelebihan kepada pengguna apabila laporan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengesahkan bahawa inflasi makanan di rumah kekal tidak berubah pada Oktober 2025, sekali gus mencerminkan keadaan harga bahan mentah yang lebih stabil dan mampu milik.
Menurut DOSM, inflasi sifar bagi kategori itu berbeza ketara dengan trend makanan di luar rumah yang terus mencatatkan kenaikan 2.9 peratus.
Perbandingan ini menandakan bahawa memasak sendiri kini menjadi pilihan lebih menjimatkan berbanding menikmati hidangan siap di restoran, meskipun ekonomi negara masih bergerak dalam suasana kos sara hidup yang mencabar.
Penurunan harga sayur-sayuran menjadi antara pemacu utama penyederhanaan inflasi makanan di rumah. Kelas perbelanjaan sayur-sayuran merekodkan penyusutan sebanyak 6.0 peratus berbanding 5.5 peratus pada September.
Antara sayuran yang menunjukkan penurunan ketara termasuk sawi jepun dengan pengurangan 14.4 peratus, sawi 12.6 peratus dan salad 9.1 peratus, menjadikan sayuran sebagai pilihan lebih mampu dibeli oleh isi rumah.
Tidak ketinggalan, harga ayam segar turut menurun 1.3 peratus pada Oktober selepas mencatatkan peningkatan 0.6 peratus pada bulan sebelumnya.
Purata harga ayam standard nasional berada pada RM10.35 sekilogram, lebih rendah berbanding RM10.63 sekilogram bagi tempoh sama tahun lalu. Di Semenanjung Malaysia, purata harga ayam lebih rendah iaitu RM9.59 sekilogram.
Namun, penurunan harga bahan mentah ini tidak diterjemahkan sepenuhnya kepada harga makanan di restoran.
DOSM melaporkan kenaikan harga masakan ayam sebanyak 3.0 peratus dan sayur-sayuran yang dimasak sebanyak 2.9 peratus, menunjukkan kos makan di luar kekal tinggi meskipun input utama lebih murah.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata inflasi keseluruhan negara menyederhana kepada 1.3 peratus pada Oktober, dipacu pertumbuhan lebih perlahan dalam kumpulan makanan dan minuman (F&B).
Beliau berkata, faktor lain seperti peningkatan kumpulan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan serta Perkhidmatan yang naik 6.0 peratus turut menyumbang kepada tekanan kos sara hidup.
Perkembangan harga semasa menunjukkan bahawa amalan memasak di rumah mampu membantu isi rumah mengekang perbelanjaan bulanan, terutama dalam persekitaran harga perkhidmatan luar yang terus meningkat.
-NIAGATIMES






















































