Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) terus mengukuhkan peranannya dalam memacu kemajuan teknologi kewangan tempatan menerusi pelaksanaan PayNet Fintech Hub, sebuah platform berstruktur yang direka bagi menyokong pertumbuhan syarikat pemula serta memperluas capaian inovasi fintech Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sejak diperkenalkan pada Mei 2025, PayNet Fintech Hub telah memberi manfaat kepada 50 syarikat fintech tempatan melalui rangkaian sokongan menyeluruh melibatkan akses industri, pembiayaan serta bimbingan strategik.
Inisiatif itu turut disokong oleh 50 rakan ekosistem merangkumi institusi perbankan, syarikat teknologi, pelabur dan penyedia perkhidmatan profesional.
Secara keseluruhan, lebih RM5 juta sokongan nilai tambah telah disalurkan, termasuk kira-kira RM3 juta kredit perkhidmatan awan dan lebih 450 jam sesi bimbingan intensif.
Hasilnya, beberapa syarikat pemula berjaya memperoleh pembiayaan melebihi US$1 juta serta membangunkan penyelesaian yang berpotensi memberi manfaat kepada lebih lapan juta individu kurang mendapat akses kewangan dan sekitar 800,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ketua Pegawai Pemasaran PayNet, Gary Yeoh berkata hab tersebut diwujudkan bagi memastikan inovasi bukan sekadar idea, sebaliknya diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang boleh dilaksanakan melalui kerjasama industri dan projek perintis.
Setakat ini, hab berkenaan telah memudah cara 11 peluang kolaborasi melibatkan 26 syarikat fintech, termasuk tujuh projek perintis bersama rakan korporat dan empat kolaborasi antara syarikat fintech sendiri.
Antara inisiatif yang disokong ialah pembangunan enjin pulangan tunai berasaskan pengecaman aksara optik serta usaha pendigitalan sistem pembayaran oleh jenama global barangan pengguna.
Penglibatan komuniti turut menjadi teras kepada kejayaan hab ini, dibuktikan menerusi penganjuran acara TGI Friday pada Oktober 2025 yang menghimpunkan lebih 200 pengasas, pelabur dan institusi kewangan.
PayNet Fintech Hub beroperasi menerusi tiga teras utama iaitu Community, Catalyst dan Collaboration. Di bawah fasa Catalyst, program PayNet x Imperial CATALYST yang bermula Disember 2025 melibatkan 10 syarikat fintech tempatan menjalani kurikulum intensif selama 10 minggu dengan kerjasama Imperial College London.
Program itu bertujuan menyediakan pendedahan global dan pengetahuan pasaran antarabangsa, sekali gus memperkukuh keupayaan syarikat fintech Malaysia untuk berkembang dan bersaing di peringkat dunia.
-NIAGATIMES






















































