Inisiatif transformasi 5G melalui MyDigital akan dipercepatkan

Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyasarkan transformasi perkhidmatan rangkaian telekomunikasi selular generasi kelima (5G) secara komersil di Malaysia dapat dilaksanakan segera menjelang akhir tahun ini ketika aspirasi MyDigital perlu melalui tiga fasa hingga 2030.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penubuhan Syarikat Tujuan Khas Milik Kerajaan Malaysia (GOMSPV) telah dipersiapkan bagi menyediakan dan menguruskan infrastruktur 5G untuk memastikan kapasiti 5G dapat diagihkan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi secara saksama dan telus.

“Model pelaksanaan ini juga akan menjimatkan perbelanjaan modal syarikat telekomunikasi dan mengelakkan pertindihan infrastruktur jika mereka membina rangkaian infrastruktur secara berasingan.

“Kesan penjimatan dan pelaksanaan yang teratur ini akan dapat dinikmati oleh pengguna dalam bentuk kos perkhidmatan 5G yang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Saifuddin, perkongsian infrastruktur di bawah GOMSPV membolehkan syarikat telekomunikasi menyediakan perkhidmatan 5G yang lebih luas dan kos yang kompetitif kepada pengguna di samping menjana pulangan lebih tinggi.

“Ini juga akan melonjakkan penggunaan 5G dengan lebih cepat dan meningkatkan keupayaan ekonomi dalam mencetuskan lebih banyak inovasi produk dan perkhidmatan.

“Melalui kaedah ini, syarikat telekomunikasi juga dapat menumpukan perhatian kepada usaha memperluas liputan gentian optik dan memantapkan liputan 4G ke seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini telah melancarkan ‘MyDigital – Rangka Tindak Ekonomi Digital Malaysia’ sebagai platform dalam menjadikan Malaysia selaku nadi digital serantau menjelang 2030.

-NIAGATIMES

 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.