Aplikasi RRIMniaga iaitu inovasi Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah merangkul empat anugerah yang dipertandingkan dalam Malaysian Technology Expo (MTE) 2023 di World Trade Centre, Kuala Lumpur yang telah berlangsung, baru-baru ini.
Inovasi LGM yang disertai tersebut bertajuk RRIMniaga: Platform Kebolehkesanan Untuk Kelestarian Rantaian Bekalan Getah Asli.
Dua Anugerah Emas yang dirangkul LGM adalah Inovasi Perkhidmatan Awam Asia dan Anugerah Inovasi Antarabangsa. LGM turut merangkul dua Anugerah Khas iaitu Inovasi Perkhidmatan Awam Terbaik daripada Persatuan Harta Intelek Jepun serta Anugerah Inovasi Antarabangsa daripada MTUN TVET.
RRIMniaga merupakan aplikasi yang digunakan oleh peniaga getah berlesen LGM untuk merekodkan urus niaga jual beli getah. Inovasi RRIMniaga adalah selaras dengan dasar Kerajaan untuk melestarikan industri getah dan mempunyai pangkalan data yang komprehensif ke arah kebolehkesanan.
Sejak diperkenalkan bermula 1 Januari 2021, semua bantuan kerajaan termasuk Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) telah dibayar secara automatik oleh
LGM terus ke akaun pekebun kecil getah melalui data transaksi aplikasi RRIMniaga. Dengan RRIMniaga, proses penyaluran bantuan adalah lebih mudah dimana ia memberi manfaat kepada lebih 300,000 pekebun kecil getah kerana mereka tidak perlu lagi ke pejabat LGM untuk mengemukakan permohonan bantuan.
LGM sentiasa prihatin dan turun padang dengan membuka Kaunter Bergerak di kawasan-kawasan pedalaman untuk memberi kesedaran kepada pekebun kecil untuk memastikan mereka mempunyai Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) dan menjual getah kepada pelesen yang mengguna pakai aplikasi RRIMniaga.
-NIAGATIMES