Sidang Kemuncak Pemasaran Global (GMS) 2018 anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) berjaya menarik penyertaan 800 usahawan yang diadakan di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, persidangan yang diadakan untuk tahun kedua dengan bertemakan ‘Menjana Jualan’ tersebut diharap mampu melonjakkan perniagaan usahawan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Selama bertahun-tahun, pelbagai program keusahawanan dan penambahbaikan kemahiran telah dilaksanakan INSKEN untuk memupuk dan melahirkan individu serta syarikat-syarikat yang berdaya saing dalam perniagaan.
“Tahun ini, kami menganjurkan GMS 2018 bagi mencipta peluang buat usahawan-usahawan tempatan untuk bertemu dan belajar daripada penceramah-penceramah yang lebih berpengaruh yang akan mengupas aspek jualan dan pemasaran dalam membina jenama antarabangsa mereka,” katanya.
Persidangan GMS kali ini telah menampilkan barisan panel jemputan yang popular iaitu Neelofa (Pengasas Naelofar Hijab), Rob Craven (Penasihat Jualan Microsoft dan Airbus), Vinita Bali (mantan Pengarah Pemasaran Coca-cola dan Cadbury) serta Ashraf Sinclair (pelakon dan pemilik TGI Fridays Indonesia).