Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bersedia memperbanyakkan program pembangunan usahawan bagi menarik minat masyarakat terutamanya kelompok pertubuhan perniagaan untuk meningkatkan daya saing serta melahirkan lebih ramai pengusaha berkaliber di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, kejayaan INSKEN membantu perniagaan usahawan melalui penganjuran program pembangunan sejak beberapa tahun lalu telah mencetus daya usaha institut itu untuk menawarkan kepelbagaian khidmat bimbingan kepada golongan terlibat.

“Kami berjaya melatih seramai 28,330 usahawan tempatan menerusi 1,109 program latihan pembangunan usahawan yang diadakan di seluruh Malaysia sejak tahun 2015. Pada tahun lepas, kami dapati sebanyak 325 daripada 500 syarikat yang mengikuti program latihan INSKEN berjaya meningkatkan pendapatan mereka sehingga 10 peratus.

“Buat masa ini, kami menyediakan sembilan program yang membantu usahawan dalam pelbagai industri dan pertambahan program yang bersesuaian dengan keperluan usahawan juga akan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pra-pelancaran Persidangan Kemuncak Pemasaran Global 2018 di Petaling Jaya Trade Centre, hari ini.

Insken program pembangunan.jpg