INSP MIHAS laksana 1,500 mesyuarat pra atur B2B pasaran lokal dan global

Program Sumber Antarabangsa (INSP) dirasmikan di Menara MATRADE, Kuala Lumpur sehari sebelum pameran Halal terbesar di dunia, MIHAS mengangkat tirainya pada 7 September 2022.

Selaras dengan edisi ke-18 MIHAS, INSP MIHAS yang dianjurkan secara bersemuka ini menempatkan mesyuarat perniagaan pra-atur di antara lebih 200 pembeli antarabangsa dan lebih 300 peniagaan yang terdiri daripada pengeksport dari Malaysia.

INSP MIHAS, program pemadanan perniagaan yang terkemuka oleh MATRADE, menyaksikan lebih 1,500 pemadanan perniagaan pra-atur B2B secara maya dan fizikal.

Mesyuarat perniagaan B2B itu termasuk mesyuarat bersama pembeli premium dari negara-negara seperti Qatar, Arab Saudi, Amerika Syarikat, India dan Turki yang di kenal pasti menerusi 46 pejabat antarabangsa MATRADE.

Para pembeli premium ini mewakili beberapa konglomerat, peruncit dan pasar raya terbesar di negara-negara tersebut.

Di samping itu, versi secara maya INSP MIHAS telah memadankan hampir 200 pembeli antarabangsa and lebih 200 pengeksport Malaysia setakat ini, yang dijangka menjana anggaran RM43.1 juta nilai potensi urus niaga.

INSP MIHAS secara maya terus mendapat permintaan yang tinggi sejak dilangsungkan pada bulan Mei tahun ini. Melihatkan sambutan menggalakkan ini, MATRADE, pihak pengajur INSP MIHAS, membuat keputusan melanjutkan sesi INSP MIHAS versi maya.

Ketua Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, pihaknya gembira melihat program INSP MIHAS diterima baik oleh pembeli antarabangsa dan pengeksport Malaysia.

“Oleh itu, kami dengan suka cita mengumumkan MATRADE akan melanjutkan INSP MIHAS secara maya sehingga 15 November 2022. Ini merupakan tanda positif untuk perdagangan Malaysia dan juga potensi pasaran halal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menggabungkan impak format fizikal dan maya, INSP MIHAS membantu memadankan hampir 600 pengeksport Malaysia dengan lebih 400 pembeli dari 50 negara termasuk dari Timur Tengah, Eropah, Asia Tengah, Asia Barat, ASEAN, Oceania, dan benua Afrika.

-NIAGATIMES

MIHAS22.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.