ISHRAF 2.0 SME Bank bimbing lebih ramai usahawan asnaf

Program Keusahawanan Asnaf atau ISHRAF, sebuah program khusus pembangunan usahawan asnaf oleh SME Bank dengan rakan strategiknya kini diperbesarkan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang akan melibatkan usahawan asnaf dari enam buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Muslimin Yahaya ketika hadir mewakili Tan Sri Noh Omar berkata, Program ISHRAF 2.0 diadakan berdasarkan kejayaan peserta ISHRAF 1.0 di mana 20 orang peserta telah berjaya mencatatkan jumlah jualan terkumpul sebanyak lebih RM1.35 juta bagi tempoh satu tahun.

“Program edisi kali ini pula diluaskan skopnya dengan penyertaan daripada 79 orang usahawan asnaf dari hampir seluruh negara agar lebih ramai mendapat manfaat daripada program ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pelaksanaan Program ISHRAF 2.0 melalui kerjasama antara YaPEIM dan SME Bank diharap dapat meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya saing dan berinovatif.

“YaPEIM melalui Bahagian Pembangunan Usahawannya aktif dalam membantu para usahawan khususnya mereka yang berstatus asnaf dengan mewujudkan Inisiatif Khas yang dikenali sebagai Inspirasipreneur Dream sebagai salah satu komponen utama di bawah Program Inspirasipreneur YaPEIM yang mana seramai 4,232 usahawan telah dibantu dengan sasaran keseluruhan 8,600 orang usahawan akan dibantu.

“Dengan pemeteraian MoU ini diharap menjadi batu loncatan kepada semua pihak terutama usahawan asnaf menambah baik perniagaan masing-masing seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka,” ujarnya.

Program ISHRAF ialah satu inisiatif pembangunan usahawan asnaf bersaiz mikro dan kecil yang akan membolehkan mereka meningkatkan kemahiran dan kebolehan mereka untuk mengembangkan, mengembangkan dan mengekalkan perniagaan mereka dengan menggunakan teknologi digital.

Selain itu, seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama dan konsep Keluarga Malaysia mereka juga disasarkan untuk keluar daripada kategori penerima zakat kepada pembayar zakat.

-NIAGATIMES

Gambar-2_Majlis-Pelancaran-ISHRAF-2.0-pada-25-Nov-2021.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.