Untuk memulakan sesuatu perniagaan, seorang usahawan wajar mengenal pasti jenis-jenis modal yang diperlukan bagi menguruskan perjalanan urusan kerja tanpa sebarang masalah. Modal bererti wang atau harta benda yang digunakan sebagai asas untuk berniaga. Justeru, ambil perhatian untuk mengetahui jenis modal berikut khususnya untuk anda yang baru hendak mulakan perniagaan.
(1) YURAN
Tiada benda yang percuma. Jangan berniaga secara haram sebaliknya berdaftarlah dengan pihak yang akan memasukkan entiti perniagaan anda secara sah. Pelbagai yuran seperti pendaftaran, jenama, konsultansi, dokumen perjanjian dan khidmat peguam perlu anda jelaskan di peringkat ini.
(2) KOS JUALAN
Produk yang anda ingin niagakan perlu dicatatkan pengiraan melibatkan barang, mesin, pembungkusan serta khidmat kurier.
(3) BAYARAN UPAH DAN GAJI
Pelbagai kos melibatkan tenaga kerja juga salah satu elemen modal yang diutamakan kerana anda perlu membayar gaji pekerja termasuklah kos perubatan serta caruman KWSP dan SOCSO.
(4) TEKNOLOGI
Elemen komunikasi yang melibatkan teknologi memerlukan anda mengendalikan pelbagai alat teknologi seperti telefon, komputer, mesin pencetak, mesin faks dan alat penghubung internet. Kesemua peralatan teknologi ini juga akan melibatkan kos penyelenggaraan yang perlu anda bayar.
(5) PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN
Premis atau kedai anda menjalankan perniagaan akan membabitkan kos bayaran secara bulanan iaitu kadar sewa dan penyelenggaraan bangunan. Jangan lupa, bayaran bagi bil elektrik dan air, telefon dan internet juga wajib dijelaskan pembayarannya.
(6) JUALAN DAN PEMASARAN
Pengiklanan sangat penting bagi jualan dan pemasaran seseorang usahawan. Tetapkan dahulu jenis pemasaran yang anda mahu gunakan. Semak bajet anda, dan kemudian buat pilihan sama ada mahu melaksanakan promosi di brosur, majalah, akhbar, internet, radio atau televisyen. Jika bajet anda besar, tidak salah juga laburkan dengan sertai pelbagai ekspo dan pameran perniagaan.