Johor Land Berhad (JLand), cabang pembangunan hartanah dan anak syarikat milik penuh JLand Group (JLG) yang merupakan perniagaan Hartanah dan Infrastruktur Johor Corporation, telah mengumumkan rancangan peluasan fasa seterusnya sempena pelancaran identiti jenamanya yang baharu.
Logo dan tawaran jenama baharu, ‘Enhancing Wellbeing, Enriching Community’ (Mempertingkatkan Kesejahteraan, Memperkaya Masyarakat) menandakan langkah JLand seterusnya dalam usaha mencapai pertumbuhan strategik portfolio menerusi pembangunan kediaman, komersial dan perindustrian untuk menguasai jangkauan pasaran yang lebih luas, dan juga memenuhi permintaan yang dijangkakan bagi hartanah berasaskan ciri-ciri demografi yang dinamik.
Majlis pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman, kelmarin.
Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi JLand, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, pihaknya memiliki peluang terbaik untuk terus mempertingkatkan tahap dengan membangunkan projek pembinaan yang inovatif dan lestari, menetapkan piawai yang akan memberi manfaat kepada generasi hari ini dan akan datang.
“Untuk memastikan bukan sahaja kemampanan JLand bagi tahun-tahun akan datang, saya menggesa kalian untuk membayangkan semula Johor Land yang baharu dan kalis masa hadapan.
“Kita ingin memastikan JCorp melalui Johor Land dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri di samping mengekalkan semangat keusahawanan yang telah memacu kejayaan Johor Land,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Salah satu mercu penting dalam evolusi jenama JLand ialah perkembangannya ke dalam portfolio dan pasaran strategik.
Antara pembangunan yang akan dilaksanakan JLand adalah seperti Lembah Teknologi Sedenak seluas 7,290 ekar, Tebing@Bandar Tiram seluas 28 ekar dengan matlamat mencontohi kejayaan dan unsur berinspirasi alam, mesra perusahaan dan bertumpukan masyarakat Bandar Dato’ Onn yang terdahulu serta Arena Larkin, sebuah hab perbandaran generasi akan datang seluas 235 ekar di daerah Larkin.
-NIAGATIMES