Jom Digital galak usahawan PKS tingkat produktiviti

Program Jom Digital anjuran Nexus Produktiviti Peruncitan, Makanan dan Minuman yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Webinar baru-baru ini bertujuan untuk menggalakkan usahawan, peniaga dan penjaja terutama di kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mentransformasi perniagaan mereka ke arah pendigitalan dan menggunapakai platform perkongsian ekonomi.

Program selama empat hari bermula dari 10 April hingga 13 April 2020 tersebut mendedahkan para usahawan dengan pemasaran digital, penghantaran mengunakan platform digital, e-marketplace, e-dompet dan e-bayaran telah berjaya melibatkan penyertaan seramai 1,816 usahawan seluruh negara terutamanya dari kalangan perusahaan mikro.

Program ini diadakan bagi menjayakan inisiatif Blueprint Produktiviti Malaysia untuk subsektor peruncitan, makanan dan minuman iaitu dari segi inisiatif menyediakan sokongan kepada PKS yang berpotensi untuk pendigitalan operasi perniagaan dan membina keupayaan e-dagang, menggalakkan peluang dari segi perkongsian ekonomi serta inisiatif di bawah Nexus Produktiviti Peruncitan, Makanan dan Minuman.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Haji Abu Seman berkata, kewujudan pelbagai segmen e-dagang di Malaysia telah mengubah landskap gaya membeli-belah di kalangan rakyat negara ini.

“Transformasi Malaysia ke arah ekonomi digital hanya dapat direalisasikan jika kita sebagai rakyat melibatkan diri dalam budaya digital dengan mengambil bahagian dalam transaksi digital serta menjadikan penggunaan teknologi digital sebagai gaya hidup kita seperti penggunaan e-dompet, e-bayaran, QR kod dan lain-lain.

“Perubahan ini membantu dan mengalakkan perkembangan yang sihat di mana lahirnya begitu ramai usahawan alaf baharu dalam talian di segenap lapisan masyarakat,” katanya menerusi aplikasi Webinar.

Transformasi-digital-PxHere-Gambar-hiasan.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.