Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) giat melaksanakan program Jom MSPO bagi meningkatkan penyertaan pihak industri termasuk pekebun kecil persendirian mendapatkan pensijilan MSPO.
Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, inisiatif tersebut bertujuan memastikan para pengusaha sawit dapat melaksanakan penanaman sawit secara mampan mengikut Amalan Pertanian Baik (GAP) di samping meningkatkan pendapatan para pengusaha sawit termasuk para pekebun kecil persendirian.
“Pengeluaran minyak sawit mampan penting bagi memperluaskan pasaran minyak sawit Malaysia sebagai negara pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia.
“Malaysia mengeksport minyak sawit ke lebih 160 buah negara termasuk pasaran Eropah yang memberi keutamaan terhadap pengeluaran minyak sawit yang dihasilkan secara mampan,” katanya ketika menghadiri program Jom MSPO Negeri Sabah di Sandakan, semalam.
Tambah Ahmad Jazlan, negara pengimport utama minyak sawit seperti India, China dan negara-negara Kesatuan Eropah juga sudah mula untuk menekankan penggunaan minyak sawit mampan.
“Perkembangan ini adalah peluang bagi industri minyak sawit negara, lebih-lebih lagi kerana minyak sawit Malaysia merupakan produk berkualiti dan anugerah Tuhan kepada dunia,” ujarnya.
-NIAGATIMES