Jualan automotif UMW Toyota Motor, Perodua meningkat pada Januari 2021

Kumpulan UMW membuka tahun 2021 dengan penjualan automotif yang meyakinkan oleh UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu, Perodua pada bulan Januari.

UMW Corporation Sdn Bhd berkata, insentif pengecualian cukai penjualan yang kini telah dilanjutkan hingga 30 Jun 2021 mendorong kepada peningkatan permintaan kenderaan.

“UMWT mencatatkan jualan sebanyak 3,845 unit pada Januari 2021, 4.1 peratus lebih tinggi daripada 3,692 unit jualan yang didaftarkan pada bulan yang sama tahun lalu.

“Toyota Vios, Yaris dan Hilux terus menjadi model yang terlaris bagi UMWT pada bulan Januari. Vios dan Yaris yang dikemaskini telah dilancarkan secara rasmi pada 17 Disember 2020.

“UMWT memperkenalkan Toyota Fortuner dan Innova yang dikemaskini pada 2 Februari 2021 bagi mendorong peningkatan dalam penjualan pada tahun 2021.

“Sementara itu, Perodua telah mencatatkan jualan sebanyak 16,894 unit pada Januari 2021 sedikit rendah berbanding 17,481 unit jualan yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lalu.

“Perodua, yang telah mencatatkan penjualan sebanyak 220,163 unit pada tahun 2020, kini menetapkan sasaran penjualan tahun ini sebanyak 240,000 unit, iaitu peningkatan sebanyak 9 peratus,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali ketika mengulas lanjut berkata, pihaknya bersyukur kerana kerajaan telah membenarkan operasi pemasangan kereta, bilik pameran dan pusat servis untuk terus dijalankan dengan syarat Prosedur Operasi Standard dipatuhi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

-NIAGATIMES

UMW-Kredit-foto-UMW.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.