OLEH: RinggitPlus
RinggitPlus mengumumkan keputusan Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2023, yang memberi gambar keseluruhan tentang tabiat kewangan rakyat Malaysia serta mengupas pelbagai cabaran unik yang dihadapi oleh mereka.
Kajian tahun ini juga mendedahkan penemuan tambahan dari segi literasi kewangan digital, masalah penipuan, jurang gender, dan sikap Gen-Z terhadap kewangan.
Berdaya Tahan Hadapi Persekitaran Kewangan yang Mencabar
Rakyat Malaysia turut terjejas dan dihimpit masalah kewangan akibat cabaran ekonomi global dan inflasi yang berpanjangan. 32% responden percaya keadaan kewangan mereka lebih teruk berbanding tahun 2022, dengan lebih separuh (55%) responden mengakui berasa khuatir, kecewa atau malu dengan keadaan kewangan semasa mereka.
Ini tidaklah menghairankan kerana tahun ini, 71% responden hanya mampu menyimpan kurang daripada RM500 setiap bulan, manakala 67% mendedahkan simpanan kecemasan mereka hanya dapat bertahan selama tiga bulan atau kurang. Sementara itu, 55% responden berkongsi perbelanjaan mereka bersamaan atau melebihi pendapatan mereka setiap bulan, bak kata pepatah ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Walaupun angka-angka ini kelihatan suram, ia sebenarnya tidak banyak berubah berbanding penemuan tahun lepas kami. Ini adalah sesuatu di luar jangkaan, kerana tabiat kewangan rakyat Malaysia sepatutnya terjejas oleh kegawatan ekonomi global. Bagaimanapun, hasil kajian tahun ini mendedahkan rakyat Malaysia mempamerkan daya tahan yang mengagumkan dengan menguasai keadaan kewangan mereka, di mana 94% responden mengambil tindakan proaktif untuk memperbaiki keadaan kewangan mereka pada tahun ini. Tiga tindakan yang paling utama termasuk mengurangkan aktiviti riadah, kurang makan di luar, dan bersungguh-sungguh menjejaki perbelanjaan mereka.
Kesedaran Literasi Kewangan Digital Perlu Ditingkatkan Akibat Penipuan yang Semakin Berleluasa
Antara penemuan penting kajian itu, adalah sebanyak 94% responden melaporkan pengalaman berkaitan dengan penipuan tahun ini, sekaligus menonjolkan keperluan mendesak untuk meningkatkan tahap literasi kewangan digital dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jadi, tidaklah menghairankan badan-badan berkuasa memandang serius masalah ini. Contohnya, industri perbankan telah melancarkan kempen kesedaran anti-penipuan yang dikemas kini dan agresif, manakala kerajaan telah meningkatkan pembiayaan untuk Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk tahun akan datang.
Selain itu, kajian RMFLS juga mendedahkan peralihan budaya kepercayaan dalam hal kewangan: 68% rakyat Malaysia bergantung pada media sosial untuk mendapat pandangan kewangan, yang mendahului sumber tradisional seperti rakan dan keluarga. Ini menimbulkan satu kebimbangan unik dalam era yang dibanjiri maklumat salah serta “pakar kewangan” yang tidak bertauliah dalam talian.
Penemuan ini jelas menunjukkan definisi ‘literasi kewangan’ telah berkembang. Selain konsep kewangan tradisional, literasi kewangan digital kini juga merangkumi tindakan untuk melindungi maklumat peribadi dan kewangan dalam talian, serta mengenal pasti sumber maklumat yang boleh dipercayai. Peningkatan literasi kewangan digital adalah penting dalam memperkasakan rakyat Malaysia untuk membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.
Jurang dalam Keterjaminan Kewangan
RMFLS 2023 turut menekankan kelemahan kewangan yang dihadapi oleh wanita di Malaysia. Disebabkan penyertaan tenaga kerja yang rendah serta jurang gaji yang kian meningkat, wanita di Malaysia lebih terdedah kepada risiko kewangan.
Menurut kajian, 75% responden wanita menyimpan kurang daripada RM500 sebulan, berbanding 66% lelaki. Di samping itu, 69% responden wanita dapat bertahan kurang daripada tiga bulan dengan hanya simpanan mereka, berbanding 64% lelaki. Malangnya, simpanan yang kurang menyebabkan mereka lebih terdedah kepada kecemasan kewangan seperti kehilangan pekerjaan atau perbelanjaan di luar jangkaan.
Cabaran untuk menyimpan wang telah menjejaskan keupayaan wanita di Malaysia untuk menambah wang dan membina dana persaraan mereka. Hanya 44% responden wanita telah mula melabur (berbanding 56% responden lelaki), dan 51% responden wanita telah mula merancang kewangan untuk persaraan mereka, iaitu 10% kurang daripada responden lelaki.
Justeru, inisiatif kerajaan, yang termasuk pelbagai inisiatif dalam Rangka Kerja Ekonomi Madani serta Belanjawan 2024 berperanan penting untuk menangani trend yang membimbangkan ini. Misalnya, Belanjawan 2024 mengetengahkan sokongan pembiayaan khusus untuk usahawan wanita serta insentif cukai bagi menggalakkan wanita kembali ke tenaga kerja. Ini adalah sebahagian daripada matlamat komprehensif kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja.
Gen-Z Pamer Prospek Kebebasan Kewangan yang Positif
Kajian tersebut juga mencabar persepsi lazim tentang Gen-Z bahawa mereka hanya mengutamakan kepuasan segera dan nikmat kehidupan di hadapan mata, dengan hasil penemuan menunjukkan Gen-Z mungkin lebih bertanggungjawab dari segi kewangan daripada yang dipercayai.
Jika dibandingkan dengan purata negara dan generasi lain, tiada perbezaan ketara yang menunjukkan bahawa Gen-Z kurang tanggungjawab dan literasi kewangan. Contohnya, 68% Gen-Z menyimpan kurang daripada RM500 sebulan, berbanding 71% purata negara atau 70% generasi Milenial.
Kajian juga mendapati 48% responden Gen-Z telah mula melabur, yang merupakan satu petanda positif untuk membina kekayaan dalam jangka panjang sejak usia yang muda.
Sungguhpun menghadapi cabaran untuk memasuki tenaga kerja semasa pandemik dan kos sara hidup yang tinggi, Gen-Z mempamerkan daya tahan serupa dengan rakyat Malaysia yang lain. Situasi mencabar ini mungkin telah mendorong mereka untuk mengejar kebebasan kewangan secara aktif sejak peringkat awal kehidupan mereka.
“Penemuan RMFLS tahun ini menonjolkan pelbagai cabaran baharu yang dihadapi rakyat Malaysia. Ia adalah peringatan bahawa cabaran-cabaran ini hanya boleh ditangani melalui usaha kolaboratif daripada semua pihak, yang termasuk kerajaan, industri perkhidmatan kewangan dan rakyat. Saya amat terinspirasi oleh daya tahan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dalam menghadapi masalah kewangan, dan kami di RinggitPlus akan terus memainkan peranan aktif untuk meningkatkan tahap literasi kewangan digital di Malaysia,” demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew.
“Jadi, kami akan berpadu tenaga dengan rakan-rakan kongsi RMFLS bagi mempergiatkan usaha penghasilan kandungan tentang literasi kewangan, terutamanya di media sosial. Kami kekal komited dalam perjalanan kami untuk membantu rakyat Malaysia, selangkah demi selangkah,” tambah beliau.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif RMFLS 2023, RinggitPlus telah menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan kongsi GXBank, CTOS dan Capital Dynamics untuk menghasilkan satu siri kandungan pendidikan berpaksikan sosial yang memfokuskan pelbagai topik kewangan peribadi.
-NIAGATIMES