Kecemerlangan R&D dan perkhidmatan MPOB tingkat prestasi industri sawit

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyasarkan peningkatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kualiti perkhidmatan untuk kemajuan industri sawit negara melalui inovasi dan perkhidmatan yang lebih efisien kepada pihak berkepentingan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berharap penambahbaikan dalam perkhidmatan dan semakan kenaikan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan meningkatkan lagi produktiviti penyelidik dan anggota MPOB dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Pihak Kerajaan sedar berkenaan peningkatan kos sara hidup yang memerlukan kita untuk sentiasa menilai semula kadar upah dan memastikan ianya selaras dengan keperluan semasa,” katanya ketika berucap semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2024 di Bandar Baru Bangi, semalam.

Saban tahun, hasil R&D MPOB ditawar kepada pengambil teknologi dalam kalangan penggiat industri dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk dikomersialkan bagi manfaat pengguna di seluruh negara.

Selain itu, R&D MPOB juga meneroka fungsi, kualiti dan potensi aplikasi baharu minyak sawit serta komponennya. MPOB juga berperanan mengawal selia urusan pelesenan, penguatkuasaan, serta menyediakan khidmat nasihat kepada pekebun kecil sawit persendirian di seluruh negara.

Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2024 merupakan acara tahunan bagi mengiktiraf kecemerlangan para anggota MPOB dalam pelbagai kategori termasuk; Anugerah Saintis Harapan, Anugerah Saintis Cemerlang, Anugerah Penerbitan, Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Piala Pusingan Ketua Pengarah, Anugerah Kecemerlangan Sains Piala Pusingan Ketua Pengarah dan Anugerah Medal Emas Penyelidikan MPOB.

Turut menerima pengiktirafan ialah pemenang Anugerah Khidmat Bakti (berkhidmat 15 tahun), Anugerah Khidmat Emas (berkhidmat 25 tahun). Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Keutuhan Pengurusan, Anugerah Stesen Penyelidikan MPOB Terbaik, Anugerah Bank Idea, Anugerah Inovasi dan Anugerah Khas Ketua Pengarah.

Menurut Pengerusinya, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, sepanjang tahun 2024 MPOB telah meraih pelbagai pengiktirafan berprestij di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan peranannya dalam bidang R&D serta perkhidmatan yang menempa nama Malaysia sebagai peneraju industri sawit global.

-NIAGATIMES

Johari-Ghani-MPOB.jpg