Kehadiran jenama besar ubah landskap bazar Ramadan

Setiap kali Ramadan menjelma, isu harga dan kualiti makanan di bazar kembali menjadi perbualan hangat dalam kalangan pengguna.

Antara rungutan yang sering dibangkitkan termasuk minuman berharga tinggi tetapi kurang rasa, juadah yang tidak setimpal dengan harga serta saiz hidangan yang semakin mengecil. Apabila pelanggan mempersoalkan situasi itu, alasan lazim yang diberikan adalah peningkatan kos bahan mentah dan sewaan tapak yang tinggi.

Meskipun masyarakat memahami cabaran kos operasi yang ditanggung peniaga, pengguna kini dilihat semakin peka terhadap nilai yang diterima berbanding harga dibayar. Pemerhati ekonomi berpendapat keadaan itu membuka ruang kepada kemasukan pemain baharu dalam landskap bazar Ramadan tahun ini.

Beberapa jenama besar dilaporkan mula menyertai bazar dengan menawarkan produk yang menampilkan imej lebih kemas dan tersusun, kualiti lebih konsisten serta harga lebih kompetitif. Malah terdapat tawaran minuman premium pada harga sekitar RM3.90, lebih rendah berbanding sesetengah minuman biasa yang dijual pada harga RM6 hingga RM7.

Perkembangan itu sekali gus memberi tekanan kepada peniaga kecil yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada pelanggan setempat. Menurut penganalisis, persaingan sihat berasaskan kualiti dan harga munasabah sememangnya baik untuk pengguna, namun ia turut menuntut peniaga kecil melakukan penambahbaikan dari segi pengurusan kos, kawalan mutu dan kebersihan.

“Pengguna hari ini tidak lagi membuat pilihan semata-mata atas dasar simpati. Mereka menilai kualiti, kebersihan dan harga secara menyeluruh,” kata seorang pemerhati industri makanan.

Dalam pada itu, terdapat juga kebimbangan bahawa kemasukan syarikat berskala besar boleh mewujudkan padang persaingan yang tidak seimbang. Dengan kelebihan ekonomi skala dan rangkaian bekalan yang lebih kukuh, syarikat besar mampu menawarkan harga rendah sebagai strategi pasaran, sedangkan peniaga kecil membeli bahan mentah pada harga runcit.

Selain itu, keuntungan peniaga kecil lazimnya beredar dalam komuniti setempat untuk menampung keperluan keluarga, berbeza dengan keuntungan syarikat besar yang disalurkan ke peringkat korporat.

Pemerhati berpendapat keseimbangan perlu dicapai agar persaingan kekal sihat dan tidak menjejaskan kelangsungan peniaga kecil yang jujur dan beretika. Dalam masa sama, peniaga disaran menilai semula struktur harga serta memastikan kualiti dan kebersihan sentiasa terpelihara.

Bagi pengguna pula, mereka digalakkan menjadi pembeli bijak dengan menyokong peniaga yang menawarkan nilai setimpal dan mengamalkan etika perniagaan yang baik, sekali gus memastikan ekosistem bazar Ramadan kekal adil dan mampan untuk semua pihak.

-NIAGATIMES

FOTO-amirulbob-hafidzizzudin1.jpg