Anugerah Antarabangsa Made for the World (MFTW) 2022 menyaksikan 30 lagi penerima anugerah dalam kalangan usahawan tempatan unggul melakar nama ekoran kejayaan di dalam perniagaan mengikut industri masing-masing.
Uniknya, program tahunan anjuran NiagaTimes dengan kerjasama media The Malaysia Voice yang menjengah edisi ketiga ini mengetengahkan usahawan-usahawan terpilih bukan sahaja daripada golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) malah juga mikro yang menonjol berikutan kredibiliti dan konsistensi mereka dalam menjana ekonomi negara.
Penasihat NiagaTimes, Emir Abdul Jalal berkata, tema ‘A Springboard for Aspiring Entrepreneurs to go Global’ (Anjakan Paradigma bagi Hasrat Usahawan ke Peringkat Global) diangkat dalam penganjuran kali ini bagi menghargai dan menyuntik semangat para usahawan terlibat untuk terus tampil hebat setanding usahawan-usahawan di luar negara.
“Mereka yang berjaya pada hari ini merupakan adiwira ekonomi yang paling menyerlah di antara pejuang-pejuang usahawan yang lain.
“Di sebalik ramai daripada rakan-rakan usahawan yang bergelut dan kecundang akibat cabaran-cabaran baru, mereka tetap terus berjuang dan bertahan bukan semata-mata demi kelangsungan perniagaan sendiri, malah turut bantu mengekalkan ekosistem keusahawanan negara supaya terus kekal mampan.
“Syabas saya ucapkan. Semoga kejayaan mereka ini kelak mampu memberi inspirasi kepada usahawan-usahawan lain di luar sana,” katanya.
Sebanyak 30 syarikat PKS dan mikro telah menerima anugerah berikutan prestasi perniagaan mereka pada tahun 2021 telah menunjukkan potensi luar biasa. Malah, ada di antaranya yang berjaya mengharumkan jenama Malaysia di mata dunia.
Penerima-penerima anugerah termasuklah PRG Legacy Sdn Bhd; Safwa Healthcare Sdn Bhd; Penerbitan Karyaseni Sdn Bhd; Hamras International Sdn Bhd; AEI Wellness Sdn Bhd; Mozacrunch International Sdn Bhd; Astaka Roadtrip & Travel (M) Sdn Bhd; Mega Jati Academy Sdn Bhd; Haura Resources Group Sdn Bhd; Laila Ideas Master Resources; Sabalan Goods Sdn Bhd; Azsara Herbs Global; FTM Management Sdn Bhd; Terang Megah Sdn Bhd (Thumb’s Malaysia) dan MW Entertainment Sdn Bhd.
Selain itu, Leadpedia Sdn Bhd; Inder Aesthetics Sdn Bhd; Aida Syakira Entertainment; Lentera Creative Home (M) Sdn Bhd; Poliklinik I-Care Sdn Bhd; Mikaseries; BBA Foods Industries; Castiel Global; Slimmewhite Sdn Bhd; Karyaseni Production Sdn Bhd; Krista Education Sdn Bhd; Shiha Zikir Empire Holdings Sdn Bhd; Nayli B Jewels dan JL Fara Beauty Sdn Bhd antara yang diiktiraf.
Dua ikon personaliti industri negara, Dato’ Wah Idris dan Sazali Abd Samad turut menerima anugerah khas berikutan kecemerlangan yang dilakar di dalam industri masing-masing.
Tambah manis, kedua-dua figura hebat ini turut berkongsi pentas bersama-sama Shiha Zikir, Datuk Dr. Inderjit Kaur (Pengasas Inder Aesthetics) dan Mohd Faizal Aminuddin (Pengarah Urusan PRG Legacy) dalam sesi istimewa Diskusi Panel ketika berkongsi pengalaman dan resipi kejayaan masing-masing dalam melakar nama di persada antarabangsa.
Anugerah telah disampaikan oleh tetamu diraja; Tunku Hajah Mariam Zaharah binti Almarhum Sultan Iskandar (adinda kepada Sultan Johor dan Raja Permaisuri Agong).
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Dato’ R. Rajendran, Ketua Pegawai Eksekutif RHA Media dan Lee Seng Chee, Pengerusi CSR Malaysia.
-NIAGATIMES