Sejumlah 500 usahawan halal dari sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah terpilih untuk menyertai kempen ‘Jadikan Halal Pilihan Utama Anda’ anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC), sebagai salah satu program di bawah Inisiatif Bajet 2022 yang dilancarkan baru-baru ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob berkata, PMKS perlu sentiasa bersedia dan sanggup meneroka peluang yang terbuka luas dalam industri Halal yang dijangka akan memberikan imbuhan serta pulangan yang cukup bernilai.
“Saya percaya, Kempen Jadikan Halal Pilihan Utama oleh HDC ini, dengan kerjasama agensi swasta dan kerajaan, akan mampu memberi kesan dan faedah yang positif dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing industri halal negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Kempen yang merupakan hasil kerjasama proaktif MITI menerusi agensinya, HDC dan Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ini, bermatlamat melonjakkan pertumbuhan industri halal ke tahap yang lebih tinggi, dengan menyasarkan peningkatan penjualan purata syarikat halal PMKS yang difasilitasi antara 20 peratus hingga 30 peratus sepanjang tempoh kempen dari April hingga Julai 2022.
Kempen ini terbahagi kepada dua kagetori, iaitu yang pertama, Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS di pasaraya-pasaraya besar. Untuk menjayakan kempen bagi kategori ini, HDC telah menjalinkan kerjasama dengan Lulu International Group dan Lotus’s Store (Malaysia) Sdn. Bhd.
Kempen yang berlangsung selama 3 bulan ini sudah bermula di semua cawangan pasaraya Lulu dan Lotus’s di seluruh negara pada akhir April baru-baru ini.
Kategori ke dua pula, iaitu Program Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS, akan melibatkan kerjasama dengan Foodpanda Malaysia, penyedia platform secara dalam talian (e-commerce) dan logistik terkemuka, yang akan bermula dari 1 Jun hingga 31 Julai 2022.
-NIAGATIMES