Kenanga Investors Berhad (Kenanga Investors), sebuah cabang pengurusan aset milik Kenanga Investment Bank Berhad telah mengumumkan penyenaraian One ETF by Kenanga (One ETF) di pasaran utama Bursa Malaysia, yang menandakan penyertaan sulung syarikat berkenaan ke dalam arena dana perdagangan bursa atau ‘exchange-traded fund’ (ETF) menerusi RTF berbentuk leveraj dan songsang (ETF L&I).
Kenanga KLCI Daily 2X Leveraged ETF (KLCI2XL) dan Kenanga KLCI Daily 1X Inverse ETF (KLCI1XI) merupakan ETF L&I yang pertama ditimbang tara dengan FTSE Bursa KLCI (KLCI) dan juga merupakan penyenaraian ETF pertama yang dibuat pada dekad ini di dalam bursa tempatan.
KLCI2XL dan KLCI1XI menggunakan kontrak indeks hadapan untuk memberi pulangan yang hampir sama dengan indeks yang dijejaki.
Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank Berhad, Datuk Chay Wai Leong berkata, insititusinya berusaha secara berterusan untuk mempelbagaikan produk serta solusi bagi memenuhi keperluan warga pelabur mereka.
“Walaupun ETF di rantau Asia Tenggara masih berada di peringkat permulaan, ia berjaya meraih perhatian orang ramai serta menunjukkan potensi untuk menjana pertumbuhan yang tinggi.
“Pada hari ini, kami berbesar hati untuk memperkenalkan OneETF by Kenanga yang memberikan para pelabur alternatif yang berpatutan untuk menjadikan portfolio mereka lebih berpelbagaian diversifikasi serta terlindung daripada perubahan nilai pasaran,” katanya.