Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), petani dan nelayan dinamakan antara golongan yang termasuk dalam senarai penerima manfaat langkah-langkah bantuan kerajaan berdepan kebimbangan ekonomi ekoran penularan wabak Covid-19 ketika ini, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, langkah-langkah bantuan tersebut yang melibatkan sejumlah manfaat bernilai sekurang-kurangnya RM100 bilion telah dicapai hasil perbincangan bersama-sama Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.
“Bermula 1 April 2020, bank-bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam-peminjam individu dan PKS di masa yang amat mencabar ini.
“Pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka. Fleksibiliti penangguhan pembayaran balik kad kredit ini boleh dimanfaatkan oleh peminjam dari 1 April 2020 sehingga 31 Disember 2020.
“Sektor korporat boleh berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka. Ini adalah penting untuk membolehkan syarikat-syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.