Kerajaan fokus percepat penskalaan PMKS selepas catat pertumbuhan kukuh

Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha mempercepat penskalaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi meningkatkan produktiviti, daya saing dan akses pasaran selepas sektor itu mencatat pertumbuhan lebih pantas berbanding keseluruhan ekonomi negara pada 2025.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) PMKS berkembang 5.7 peratus kepada hampir RM690 bilion pada tahun lalu, mengatasi pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.2 peratus.

Beliau berkata sumbangan PMKS kepada KDNK negara turut meningkat kepada 39.7 peratus berbanding 39.5 peratus pada 2024, manakala jumlah PMKS mencecah hampir 1.3 juta atau 96 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, lebih 77 peratus daripada PMKS masih terdiri daripada perusahaan mikro, manakala hanya 1.1 peratus berada dalam kategori sederhana.

“Cabaran utama kini ialah memastikan lebih banyak perusahaan mikro berkembang menjadi kecil, perusahaan kecil menjadi sederhana dan lebih banyak syarikat tempatan mampu menembusi pasaran global,” katanya pada Sidang Media Prestasi PMKS 2025 di SME Corp. Malaysia, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Steven berkata eksport PMKS meningkat 10.5 peratus kepada RM214.5 bilion pada 2025, mengatasi pertumbuhan keseluruhan eksport negara sebanyak 5.9 peratus serta firma bukan PMKS sebanyak 5.1 peratus.

Menurut beliau, prestasi itu membuktikan PMKS tempatan mempunyai daya tahan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perdagangan global.

Bagi mempercepat agenda penskalaan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melaksanakan inisiatif Power Up 10K dengan sokongan pembiayaan RM15 bilion bagi membantu PMKS meningkatkan produktiviti, mengukuhkan aliran tunai, memperluas kapasiti perniagaan serta menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.

Inisiatif itu turut menyokong sasaran meningkatkan komposisi firma bersaiz sederhana kepada lima peratus menjelang 2030.

Pada majlis sama, Steven turut melancarkan Panduan Pantas Penggunaan FTA oleh PKS yang dibangunkan SME Corp. Malaysia bagi membantu PMKS memanfaatkan 17 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dimeterai Malaysia.

SME Corp. Malaysia turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysia-China Chamber of Commerce (MCCC) dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) bagi memperkukuh kerjasama dalam aspek kelestarian, pembangunan kapasiti, akses pasaran dan jaringan industri.

-NIAGATIMES

SME-Corp-Kuskop-1.jpg