Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyeru institusi perbankan tempatan untuk mengambil bahagian dalam terus mempelbagaikan inisiatif bagi memperkasakan keusahawanan yang melibatkan golongan wanita melalui tawaran perkhidmatan perbankan masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KPWKM, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, kemudahan perbankan seperti penawaran modal, produk dan perkhidmatan kepada usahawan wanita berupaya menggalakkan lebih ramai penyertaan golongan tersebut dalam perniagaan sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Pada masa ini terdapat hampir satu juta perniagaan dalam segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang mana kira-kira 20.6 peratus daripadanya merupakan perniagaan yang dimiliki atau dikuasai wanita. Data yang digunakan adalah berdasarkan Banci Ekonomi 2016 Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Ini jelas menunjukkan bahawa PKS antara tulang belakang kepada kesejahteraan ekonomi negara dan saya yakin bahawa usahawan wanita berkemampuan memacu pertumbuhan ekonomi untuk jangka panjang,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran program Women in Business (WinBiz) Bank Islam di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini.

Wan-Azizah-Foto-NiagaTimes.jpg