Kerajaan kini sedang mengkaji dasar baharu dalam usaha meningkatkan penglibatan usahawan tempatan di samping merancakkan lagi pengeluaran produk jenama Malaysia bagi menggalakkan pembangunan ekonomi negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Beliau berkata, dasar baharu melibatkan pembangunan usahawan yang dikenali sebagai ‘Carving Out Policy’ itu telah diluluskan oleh Majlis Pembangunan Negara dan dipersetujui di peringkat kementerian untuk diperhalusi.
“Negara-negara maju sebagai contoh seperti Jepun, mempunyai akta-akta tertentu yang mewajibkan perolehan kerajaan menggunakan barang-barang tempatan sebanyak 50 peratus. Malaysia masih jauh ketinggalan sebab kita menggunakan barang buatan dari luar negara.
“Justeru dengan adanya polisi itu tadi, ia akan meningkatkan lagi penglibatan usahawan tempatan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Kita akan perhalusi kemampuan anak-anak tempatan, anak-anak muda, pengusaha tempatan untuk memenuhi ruang yang kita berikan nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat dan demonstrasi Elektrik Bas Inovasi Malaysia di Menara Kembar Bank Rakyat Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Redzuan, produk tempatan yang akan terlibat tidak semestinya membabitkan makanan dan minuman (F&B) semata-mata, malah juga merangkumi pembuatan seperti kejuruteraan, kapal perang, bas, kapal terbang, aset ketenteraan dan sebagainya.